Umat Islam perlu tunjuk sifat mulia, tarik minat orang bukan Islam

Dr Mahathir bergambar bersama para penerima Anugerah Kecemerlangan pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) malam ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir bergambar bersama para penerima Anugerah Kecemerlangan pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) malam ini. -Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Umat Islam perlu menunjukkan sifat mulia agar masyarakat bukan Islam tertarik dengan keperibadian dan ajaran Islam, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, Dr Mahathir menggesa agar amalan negatif seperti tidak bertimbang rasa, mencemuh agama dan bangsa lain, serta bertelagah akibat perbezaan pendapat, disisihkan bagi mencapai matlamat umat Islam sebagai pendakwah.

"Penerimaan orang bukan Islam akan berkurangan, kalau kita pamerkan sikap daif dan gagal dalam kehidupan.

"Kita kena tunjukkan sifat-sifat yang baik, Insya-ALLAH mereka akan tertarik dengan tingkah laku kita dan percaya kepada ajaran Islam,” kata Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan Kali Ke-58, di sini hari ini.

Hadir sama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Dr Mahathir juga mahu umat Islam hidup dalam semangat muafakat, dengan tidak terpengaruh dengan sikap mementingkan diri sendiri, sehingga mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat lain.

"Manusia hidup bermasyarakat bukan hidup tunggal, berasingan. Jangan kita terpengaruh dengan perasaan kita hingga cetus huru hara, kerana akan merugikan,” katanya.

Beliau berkata betapa ruginya sesebuah negara jika rakyatnya hidup dalam perbalahan, sehingga menyebabkan pihak lain mengambil kesempatan mengeruhkan lagi keadaan.

Artikel Berkaitan:

"Bila bermusuh ada pihak lain akan ambil kesempatan, dengan itu tidak aman negara. Kita kena cekap kurangkan emosi dan bendung rasa benci dan marah dan terima pendapat orang lain,” katanya.

Mengenai Perkim, Dr Mahathir mahu pertubuhan itu bergerak sebagai satu pertubuhan yang cergas dalam menjalankan tanggungjawab untuk berdakwah menyampaikan mesej agama Islam kepada seluruh masyarakat.

"Perkim sudah 58 tahun. Peranan Perkim adalah laksanakan dakwah dan angkat martabat Islam.

"Saya berpendapat Perkim mampu laksanakan tanggungjawab, menjayakan misi dengan menumpukan kepada matlamat asal,” kata Dr Mahathir.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua 1 Perkim Datuk Seri Shahidan Kassim menyambut baik saranan Dr Mahathir menyatu padukan umat Islam, dengan mengikut ajaran Islam dalam erti kata sebenar.

"Kita kena ada pemimpin yang ada usaha satu padukan orang Islam. Inilah masanya, Dr Mahathir sebagai perdana menteri kena jalankan tanggungjawab itu. Beliau perlukan kerjasama semua,” katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!