Machang jajahan ketiga dilanda banjir di Kelantan
KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kelantan meningkat kepada 315 orang sehingga pukul 8.00 pagi ini berbanding 185 orang pada sebelah malam tadi.
Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Machang adalah jajahan ketiga yang terjejas banjir selepas Kuala Krai dan Tanah Merah semalam.
Seramai 37 orang mangsa banjir telah dipindahkan ke satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Roman di Machang membabitkan 15 keluarga,.
Di Kuala Krai, sebanyak empat PPS dibuka membabitkan 175 mangsa iaitu 63 mangsa di PPS SK Chenulang, 61 mangsa di Pusat Asuhan Kuala Pertang, 43 mangsa di Balai Raya Kampung Mia dan lapan mangsa lagi ditempatkan di SK Sungai Embek.
Bagi jajahan Tanah Merah,103 mangsa dipindahkan ke enam PPS melibatkan 26 keluarga.
Daripada jumlah itu, 39 mangsa ditempatkan di SK Kelewek, dua mangsa di SK Bukit Panau, 20 mangsa di SK Alor Pasir, 21 mangsa di Dewan Serbaguna Kg Padang Kijang, 11 orang di SK Kulim manakala 10 mangsa lagi dipindahkan ke Masjid Mukim Kuala Kepok.
Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan dua sungai utama di negeri ini melepasi paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang pada bacaan 8.68 meter (amaran 8 meter) dan Sungai Lebir di Tualang 31.18 meter berbanding paras amaran 31 meter.
Manakala tiga sungai melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai pada 21.21 meter (berjaga-jaga 20 meter), Sungai Kelantan di Kusial 13.29 meter berbanding paras berjaga-jaga 12 meter dan Sungai Golok di Jenob 22.07 meter (berjaga-jaga 21.5 meter).
Cuaca di Kelantan ketika ini masih hujan dengan sesekali lebat namun tiada laluan utama yang menghubungkan negeri ini ditutup kepada pengguna jalan raya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!