Tunggu kenyataan rasmi MFL tentang Kevin Ramalingam: Hamidin
PRESIDEN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Hamidin Mohd Amin masih ‘berahsia’ mengenai status Kevin Ramalingam yang dilapor melepaskan jawatan sebagai ketua Pegawai Eksekutif badan itu.
Hamidin yang ditemui selepas perasmian Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Junior RSC-Datuk Chu Ah Nge ke-15 berkata beliau masih belum mendapat sebarang laporan berhubung perkara berkenaan.
“Tentang perkara itu (peletakan jawatan), MFL akan buat kenyataan rasmi mengenai isu ini. Saya belum dapat lagi laporan penuh, mungkin dalam masa terdekat.
“Sama ada sahih atau tidak itu semua, dalam masa terdekat kita akan keluarkan kenyataan... tunggu kenyataan rasmi,” katanya.
Spekulasi mengenai peletakan jawatan Kevin hangat diperkatakan selepas laporan sebuah blog yang mengatakan semalam adalah hari terakhir beliau di MFL dan telah mengucapkan selamat tinggal kepada petugas di MFL.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak Datuk Posa Majais pernah mendesak agar Kevin melepaskan jawatan ekoran tidak puas hati dengan cara Kevin mengenakan pemotongan geran.
Isu ini kembali panas diperkatakan apabila ura-ura mengatakan adanya usul daripada pemegang taruh agar Kevin melepaskan jawatan pada Kongres MFL dijadualkan pada 14 Dis ini yang dijangka akan dihadiri semua wakil pemegang taruh Liga Malaysia.
Difahamkan kelewatan pengagihan geran tahunan sepertimana dijanjikan antara punca mengapa Kevin menjadi sasaran kecaman dan diminta melepaskan jawatannya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!