Penuntut UTHM sesat di Gunung Pulai ditemukan selamat
KULAI - Seorang penuntut universiti yang dilaporkan sesat di Gunung Pulai pada Khamis lalu diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat di sini semalam.
Pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Penguasa Bomba, Mohd Khairi Zainudin berkata, wanita terbabit ditemukan kira- kira enam jam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
"Berdasarkan kepada panggilan kecemasan yang diterima kia-kira pada jam 10 malam pada Khamis lalu, terdapat seorang wanita berumur 20-an terpisah dari kumpulan semasa melakukan aktiviti mendaki gunung.
“Tindakan operasi anggota ke lokasi terakhir mangsa dipercayai terpisah dari kumpulan dan (Bomba) melakukan pencarian di sekitar kawasan tersebut,” katanya.
Menurutnya, mangsa berjaya ditemukan pada jam 2.10 pagi dalam keadaan lemah namun tidak mengalami kecederaan.
"Mangsa yang juga penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kemudiannya dihantar ke Hospital Kulai untuk rawatan lanjut.
"SAR ditamatkan pada jam 4.40 pagi itu melibatkan 22 anggota bomba, polis dan tentera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!