Pengasas Telegram saran padam WhatsApp
PENGASAS Telegram, Pavel Durov, baru-baru ini mencuri tumpuan ramai apabila 'menyerang' aplikasi pesanan popular, WhatsApp.
Durov meminta orang ramai memadam aplikasi WhatsApp dengan alasan isu kerentanan dan privasi yang terdapat dalam sistem berkenaan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan beberapa hari selepas isu keselamatan yang timbul dalam sistem WhatsApp di India.
ISistem itu mengakibatkan penggodam dapat mengakses pesanan peribadi pengguna apabila mereka membuka fail video dalam aplikasi WhatsApp.
Pihak WhatsApp kemudian menggesa pengguna untuk mengemaskini kepada versi baharu bagi menangani isu terbabit.
Sementara itu dalam muat naik panjang lebar di saluran Telegramnya, warga Rusia itu turut menarik perhatian syarikat induk WhatsApp, Facebook dan mengatakan aplikasi tersebut adalah 'Trojan Horse' yang digunakan untuk mengintip pengguna mereka.
“WhatsApp bukan sahaja gagal melindungi mesej WhatsApp anda, aplikasi ini juga sering digunakan sebagai 'Trojan Horse' untuk mengintip foto dan gambar bukan WhatsApp.
"Mengapa mereka melakukannya? Facebook sudah lama menjadi sebahagian program pengawasan sebelum ia mendapat WhatsApp," tulis Durov.
Ketika Facebook cuba menenangkan situasi, Durov menegaskan ia bukan kali pertama aplikasi WhatsApp dieksploitasi sedemikian rupa.
Dalam pada itu, WhatsApp adalah pesaing rapat Telegram dan tindakan 'serangan' awam seumpama ini berkemungkinan usaha untuk mengetengahkan agenda masing-masing.
Buat masa ini, pengguna dinasihatkan mengemaskini aplikasi ke versi terkini dan mengelak daripada membuka mesej dan fail dari penghantar tidak dikenali. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!