GRO warga Vietnam salah guna pas lawatan sosial
LUMUT - Seramai enam warga Vietnam termasuk empat wanita yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen di sebuah pusat hiburan di Pusat Bandar Seri Manjung, di sini hari ini.
Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata, serbuan terbabit dibuat hasil daripada risikan sejak dua minggu lalu yang mengenal pasti aktiviti tidak bermoral dilakukan oleh kumpulan wanita berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati mereka yang berusia 25 hingga 35 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan diri.
"Wanita terbabit disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial bekerja sebagai GRO manakala dua lelaki berkenaan dipercayai menjadi pelanggan atau pekerja di premis ini," katanya.
Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
"Mereka yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.
"Pemantauan akan dilakukan secara berterusan dan dua premis di lokasi ini sering menawarkan GRO melibatkan warga asing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!