Malaysia ulangi seruan supaya PBB lebih inklusif
PUTRAJAYA - Malaysia mengulangi seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya penambahbaikan dilaksanakan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) demi memastikan institusi itu lebih inklusif, demikian menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.
Seruan itu dibuat Chin Tong ketika lawatan tiga hari ke Berlin pada 26-28 November lepas atas jemputan Friedrich Ebert Stiftung, sebuah yayasan berpangkalan di Jerman untuk berucap pada persidangan hal ehwal antarabangsa dan keselamatannya, Tiergarten Conference.
"Tidak ada masa yang lebih sesuai berbanding ulang tahun ke-75 PBB pada 2020. PBB dan multilateralisme memerlukan seluruh negara yang bersependapat untuk menentang polarisasi, yang semakin menjadi-jadi beberapa tahun ini sejak Presiden Donald Trump mula bertugas," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh pejabat Timbalan Menteri Pertahanan di sini hari ini.
Chin Tong berkata, pada masa yang sama, para demokrat sosial perlu memastikan bahawa pentadbiran demokrasi membawa hasil kepada masyarakat termasuklah peluang pekerjaan, perumahan dan khidmat penjagaan kesihatan bagi mengelak rasa kecewa para marhaen.
"Dasar berhemat yang dilaksanakan sepanjang dekad lampau di Eropah memperlihatkan bahawa semakin kerajaan berundur, semakin masyarakat marah dan membantu populis sayap-kanan mengembangkan pengaruh mereka.
"Pentadbiran demokrasi mesti memastikan warganya mempunyai kehidupan ekonomi yang bermaruah dan selayaknya supaya mereka tidak menyokong para autoritarian dan populis sayap-kanan," katanya.
Dalam lawatan ini, Chin Tong turut mengadakan kunjungan hormat kepada rakan sejawatnya, Parliamentary State Secretary to the Federal Minister of Defence, Thomas Silberhorn untuk berbincang tentang kerjasama pertahanan dua hala Malaysia-Jerman, penglibatan Jerman di Asia dan keperluan upaya di peringkat antarabangsa bagi mengelak perseteruan kuasa-kuasa besar.
Diiringi Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Sarah Nava Rani Al Bakri Devadason, Chin Tong juga mengadakan perbincangan bersama Minister of State at the Federal Foreign Ministry, Niels Annen bagi bertukar pandangan tentang prospek dasar luar Malaysia selepas perubahan kerajaan pada Mei 2018.
Selain itu, Chin Tong turut bertemu jurucakap jawatankuasa Parlimen mengenai hal ehwal antarabangsa Parti Sosial Demokrat Jerman (SPD), Dr Nil Schmid, dan bakal Setiausaha Antarabangsa SPD, Franz Danner. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!