Lelaki maut MPV rempuh lori
KLUANG - Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya merempuh sebuah lori di KM49 Jalan Yong Peng-Kluang, kira-kira jam 9.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Abdul Azim Abdul Wahab, 25, berasal dari Felda Ayer Hitam, di sini.
"Siasatan awal mendapati, kenderaan Toyota Avanza yang dipandu mangsa dari arah Paloh telah hilang kawalan sewaktu tiba di lokasi kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang datang dari arah Kluang.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian pemandu selain kecederaan di beberapa bahagian badan selain kenderaannya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan," katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan.
Katanya, pemandu lori berusia 56 tahun dan berasal dari Taman Desa, di sini, tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan awal di tempat kejadian mendapati lokasi kemalangan merupakan jalan lurus dan mempunyai garisan berkembar selain cuaca berada dalam keadaan baik.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saya meminta orang ramai yang melihat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!