Belum masanya untuk letak jawatan: Ong Kim Swee

Kim Swee tetap komited dengan tugasnya bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2019 di Filipina. -Foto FAM
Kim Swee tetap komited dengan tugasnya bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2019 di Filipina. -Foto FAM
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee tidak pernah terfikir melepaskan jawatan selepas mula dikritik hebat ekoran prestasi hambar anak-anak buahnya pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Sebaliknya, Kim Swee menjadikan segala kritikan yang dilemparkan ke atas dirinya itu sebagai motivasi dan peransang bagi melakukan yang terbaik, sekali gus mempertingkatkan prestasi skuad kendaliannya.

“Perkara yang tidak difikirkan langsung (untuk saya meletakkan jawatan) kerana kita masih ada dua lagi perlawanan (peringkat Kumpulan A). Kita masih ada peluang untuk layak ke peringkat seterusnya (separuh akhir) jika mampu mencatat dua kemenangan dengan gol yang selesa.

“Saya masih yakin dengan kemampuan semua pemain dan corak permainan yang saya jangkakan akan bertambah baik selepas ini,” kata Kim Swee pada sesi latihan skuad negara di Stadium Memorial Rizal, Manila pagi tadi.

Dianggap antara jurulatih penuh berpengalaman atas rekodnya membimbing skuad negara buat kali kelima di pentas Sukan SEA, Kim Swee tetap fokus membimbing Harimau Muda bagi menghadapi baki dua aksi Kumpulan A menentang Timor Leste esok dan Kemboja Rabu nanti.

“Apa yang boleh saya maklumkan di sini, apa sahaja keputusan sama ada kita layak atau tidak (ke peringkat separuh akhir), ini pasti akan menjadi Sukan SEA yang terakhir untuk saya.

“Apa yang paling penting sekarang adalah kita fokus daripada memikirkan perkara negatif. Jika tuah menyebelahi kita, kita pasti mampu melakukannya,” ujarnya yang membantu skuad negara meraih pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.

Selepas kekalahan 0-1 kepada Filipina malam kelmarin, sudah mula kedengaran 'suara-suara' daripada para pengkritik, peminat dan penyokong bola sepak tanah air yang mendesak pengendali berusia 49 tahun itu melepaskan jawatannya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mengharungi dua perlawanan, skuad kendalian Kim Swee sekadar mampu meraih satu mata hasil keputusan seri 1-1 ketika menentang Myanmar dalam aksi pembukaan. Myanmar pula gah menerajui Kumpulan A dengan tujuh mata manakala Kemboja dan Filipina berkongsi empat mata.

Atas kertas, Harimau Muda berdepan ranjau berliku untuk menempah tiket ke separuh akhir apabila perlu menang ke atas Timor-Leste dan Kemboja dengan jumlah jaringan besar sambil mengharapkan Myanmar dan Filipina keciciran mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!