Bungkus dadah dalam bilik tidur
ALOR GAJAH - Kegiatan seorang pengedar dadah lelaki yang menjadikan bilik tidur sebagai tempat membungkus najis dadah, terbongkar susulan penahananya di sebuah rumah di Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini, Jumaat lalu.
Selain menahan suspek berusia 37 tahun, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 1,840 gram, ketamin 2,940 gram, 1,300 biji pil estacy (369 gram) dan wang tunai berjumlah RM9,000 dengan nilai keseluruhan rampasan RM203,500.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A.Asmadi berkata, suspek yang dipercayai melakukan kegiatan itu sejak empat bulan lalu, ditahan jam 2.15 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah yang diketuai, inspektor Muhammad Amin Padzil.
Menurutnya, pihak polis melakukan sebuan hasil maklumat orang ramai sebelum bertindak ke rumah lelaki itu yang tinggal bersama ibunya berusia 63 tahun.
"Ketika memperkenalkan diri kepada ibu suspek, wanita warga emas itu membantu polis meminta suspek kemudian membuka pintu bilik sebelum dia berjaya diberkas.
"Ketika pintu dibuka, suspek tidak melarikan diri dan kita percaya suspek baharu sahaja selesai melakukan kerja pembungkusan berdasarkan bungkusan pelbagai jenis dadah di atas lantai dalam bilik tersebut," katanya.
A.Asmadi ditemui pemberita ketika sidang media di IPD Alor Gajah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Polis (DSP) Ahmad Mazlan Abd Rahman.
Jelasnya, selain wang tunai yang ditemui di dalam beg kertas di bilik suspek, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Modenas milik lelaki terbabit.
Katanya, maklumat awal turut mendapati lelaki yang juga penagih dadah, menerima bekalan dadah daripada individu lain sebelum melakukan kerja-kerja membungkus dadah dalam bilik tanpa disedari ahli keluarga lain.
"Setakat ini suspek yang bekerja sendiri tidak mempunyai rekod lampau namun ujian saringan awal air kencingnya positif.
"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 10 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!