Dukung bayi harung bah paras lutut
HULU TERENGGANU - Seorang ibu mendukung bayinya berusia 2 bulan mengharungi banjir sejauh kira-kira 100 meter untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil di sini dinaiki air awal pagi tadi.
Surhaizam Taib, 34, berkata, dia mula berpindah pada jam 8.30 pagi bersama bayi dan dua lagi anaknya berusia 8 serta 6 tahun ketika air pada paras lutut kerana bimbang dengan keselamatan bayi perempuannya yang dilahirkan pada 1 Oktober lalu.
“Jam 1 pagi tadi air sudah mula naik tapi masih ok. Namun jam 8.30 pagi saya dan suami ambil keputusan ke pusat pemindahan sebab banjir sudah paras lutut, risau kalau air semakin naik tambahan pula bayi saya lahir pramatang.
“Lapan tahun dulu, saya pernah berpindah tengah malam bersama bayi 2 bulan, saya tidak mahu pengalaman ini berulang lagi,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara Pengkalan Ajal hari ini.
Surhaizam berkata, dia sudah melakukan persiapan awal dengan mengemas barang dan dokumen berharga setiap kali tibanya musim tengkujuh dan ini kali ketiga dia berpindah ke pusat pemindahan sementara.
“Belakang rumah ada sungai, jadi saya dan suami, Norhisham Harun, 39, sudah boleh agak banjir atau tidak dengan melihat tahap air sungai. Jika nampak air banyak, cepat-cepat ambil barang dan pindah,” katanya.
Sementara itu, Zabedah Deraman, 34, ibu kepada lima anak berusia antara 14 tahun hingga dua bulan dari Kampung Pengkalan Ajal yang baru melahirkan bayi perempuan dua bulan lalu pula merasai pengalaman pertama tinggal di pusat pemindahan.
Suri rumah itu berkata, suaminya, Shamsudin Ibrahim, 38, membawa dia bersama tiga anaknya berpindah pada jam 11.45 malam tadi selepas kawasan rumah mereka mula ditenggelami air paras lutut.
“Bila tengok air makin banyak, kami naik motor redah air, lepas itu naik lori yang disediakan pihak berkuasa dan sebelum sampai ke PPS ini kami naik sampan pula. Ketika itu air sudah berada pada paras dada,” katanya.
Zabedah berkata, hanya tiga anaknya berpindah di pusat pemindahan manakala dua lagi berada di nenek mereka di Kampung Lebak, Ajil sempena cuti persekolahan.
“Saya berasal dari Manir dan ini pengalaman pertama saya berpindah ke pusat pemindahan kerana banjir. Terpaksa pindah sebab ada bayi kecil, bimbang juga dengan keselamatan anak,” katanya.
Dua bayi perempuan berusia dua bulan itu antara 130 mangsa membabitkan 25 keluarga yang ditempatkan di PPS Kampung Pengkalan Ajal hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!