Simulasi kesan kenaikan harga petrol dibentang

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

ALOR SETAR - Simulasi kesan kenaikan atau penurunan harga petrol terhadap kos sara hidup dan indeks harga pengguna yang menyumbang kepada inflasi akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia untuk mencari mekanisme terbaik penetapan harga petrol tanpa membebankan pengguna.

Menurutnya, ini kerana kadar apungan harga petrol secara berperingkat sebanyak 1 sen seminggu sebaik sahaja Program Subsidi Petrol (PSP) dilaksanakan belum dimuktamadkan sepenuhnya.

“Kita memperoleh data yang tepat berdasarkan simulasi ini. Perincian ini akan dibentang untuk kita rangka mekanisme terbaik, selain peka dengan keluhan rakyat serta reaksi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2019 peringkat kebangsaan yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di pekarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Saifuddin (kanan) dan Mukhriz (kiri) ketika meninjau kedai runcit bergerak yang mengambil bahagian dalam sambutan Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil (HPPK) 2019, di pekarangan Stadium Darul Aman.
Saifuddin (kanan) dan Mukhriz (kiri) ketika meninjau kedai runcit bergerak yang mengambil bahagian dalam sambutan Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil (HPPK) 2019, di pekarangan Stadium Darul Aman.

Saifuddin berkata, perbincangan lanjut juga akan diadakan bersama syarikat petrol, pemilik stesen minyak serta persatuan pengguna sebelum melaksanakan mekanisme yang tepat.

“Penentuan harga petrol di pam ditentukan mekanisme harga automatik iaitu harga minyak mentah dunia, kos operasi, keuntungan syarikat dan banyak faktor lain. Banyak angkubah yang tidak membolehkan kita sebut secara tepat berapa sen kenaikan kerana harganya berubah setiap minggu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, cadangan kenaikan 1 sen seminggu itu hanyalah sebahagian idea untuk dibincangkan bagi mengenal pasti mekanisme harga.

“Kita memang ada bajet untuk itu, kenaikan (1 sen seminggu) itu bukan untuk tampung Program Subsidi Petrol (PSP),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen berkata, kerajaan akan mengapungkan harga petrol secara berperingkat sebanyak 1 sen seminggu sebaik sahaja PSP dilaksanakan Januari ini.

Katanya, kementerian memutuskan menaikkan harga bahan api itu sehingga harga petrol RON95 mencapai harga pasaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!