Plastik sangkut punca gangguan air
MELAKA TENGAH - Bahan plastik tersangkut pada katup apung keluar di tangki utama sebenarnya menjadi punca berlakunya masalah bekalan air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, sejak, Khamis lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Khalid Nasir, berkata bendasing itu ditemui di bahagian tangki utama menyebabkan tekanan air masuk ke tangki sedutan, rendah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati air tidak dapat masuk ke tangki sedutan menyebabkan 'booster pump' pada setiap blok bangunan tidak dapat berfungsi sebelum meminta bantuan pihak kontraktor Lembaga Perumahan Melaka (LPM).
"Plastik ini kemudian ditemui selepas kontraktor LPM menyelenggara di tangki sedutan.
"Selepas plastik ini dibuang, tekanan air kembali tinggi masuk ke dalam tangki utama dan akan penuh dalam tempoh tiga jam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SAMB, Jalan Hang Tuah, di sini.
Mohd Khalid turut menafikan dakwaan penduduk mengenai paip 180 milimeter (mm) bocor sebagai punca masalah itu berlaku malah ia tiada kaitan langsung.
"Berlaku salah faham oleh penduduk PPR mengenai paip pecah sebelum ini. Tangki ini sebenarnya menerima sumber daripada kolam air di Bukit Kuda manakala paip bocor itu hanya membabitkan kawasan Taman Kubong Jaya semasa pembaikan," katanya.
Katanya, pihaknya turut menyediakan sebuah lori tangki air dan tangki statik untuk kegunaan penduduk sehingga bekalan air dapat diagihkan kepada semua penduduk PPR sementara menunggu tangki berkenaan penuh.
Laporan Sinar Harian semalam, lebih 2,000 penduduk yang mendiami PPR Krubong di sini, menggesa pihak berkuasa membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang dialami sejak Khamis lalu.
Keadaan itu menjejaskan kehidupan mereka terutama penghuni yang tinggal di tingkat atas sehingga ada mendakwa sudah tidak mandi sejak masalah tersebut melanda.
Penduduk mendakwa, ia berpunca apabila paip bocor di kawasan berhampiran yang menyebabkan tekanan air rendah selain tangki penyelenggaraan turut rosak sehingga terpaksa bergantung pada bekalan air di surau berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!