Banjir di Kuala Krai pulih
KUALA KRAI - Keadaan banjir di daerah Kuala Krai pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup petang ini.
Sebanyak tiga PPS iaitu di Kemas Kampung Kuala Pertang, Balai Raya Kampung Mial dan Madrasah Kampung Sungai Embak ditutup pada sebelah pagi.
PPS terakhir di Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang pula ditutup pada jam 2 petang apabila 63 mangsa banjir mula dihantar pulang ke rumah masing-masing.
Ketua Polis Daerah Kuala Kra, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dan proses pembersihan turut dibantu anggota keselamatan.
Katanya, keadaan cuaca juga bertambah baik berbanding semalam, sekali gus mempercepatkan proses air surut secara berperingkat.
"Kesemua empat PPS yang menempatkan 167 mangsa banjir ditutup sepenuhnya dan akan dibuka kembali sekiranya ada kawasan yang kembali tenggelam pada gelombang kedua banjir.
"Bagaimanapun, pemantauan akan tetap dilakukan oleh agensi yang terlibat bagi memastikan keadaan terkawal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!