Atlet tarian Malaysia impi bawa pulang emas pertama negara
SELEPAS penyertaan kali pertama dalam sukan tarian di Sukan SEA pada 2007 hanya membuahkan satu pingat gangsa, atlet Malaysia sukan itu, kini berhasrat untuk membawa pulang pingat emas pertama pada edisi ke-30 ini.
Jurulatih pasukan, Chua Zjen Fong yakin sekurangnya satu pingat emas dan dua gangsa boleh dicapai pasukan kebangsaan, selepas menunjukkan prestasi memberangsangkan di beberapa kejohanan sebelum ini.
Katanya, Lego Sam Jee Lek yang akan bertanding dalam disiplin ‘breaking’, merupakan sandaran utama Malaysia untuk mendapatkan pingat emas, selepas berjaya dalam beberapa kejohanan antarabangsa tahun ini.
“Jika Sam menang emas, beliau akan mencatatkan sejarah dalam sukan tarian Malaysia,” kata Zjen Fong yang juga seorang bekas atlet sukan tarian.
“Selain Sam, kita juga meletakkan sasaran pingat pada Elvin Teo Chee Seng dan Kimberly Tan Cheer Ching dan juga Jarel Cheong Tze Wen dan Koh Jinnee bagi disiplin ‘standard’ selain Tan Yee Chun dan Tan Chee Min dalam disiplin ‘latin’,” katanya kepada Bernama di ‘Royce Hotel and Casino’, hari ini.
Sembilan atlet Malaysia akan menyertai disiplin latin, berpasangan standard dan breaking.
Malaysia tidak menyertai sukan tarian ketika ia mula-mula diperkenalkan pada Sukan SEA Filipina 2005, dan menang satu pingat gangsa menerusi Yong Kwok Leong dan Gooi Yee Zhen dalam disiplin Latin American (Rumba) pada Sukan SEA Korat, Thailand 2007. Sukan tarian tidak dipertandingkan selepas itu.
Sam ketika ditemui mempunyai harapan yang sama, untuk menjadi pemenang pingat emas pertama negara di Sukan SEA dalam sukan tersebut.
“Ini adalah kali pertama disiplin ‘breaking’ dipertandingkan di Sukan SEA dan berharap saya akan dapat keputusan yang baik dan menunjukkan pergerakan khas saya pada pertandingan esok.
“Saya telah mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa, jadi saya percaya saya mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk menghadapi tekanan esok,” katanya.
Elvin Teo dan Kimberly Tan juga yakin dengan peluang memenangi pingat.
“Kami menang pingat perak di Kejohanan SEA WDSF 2019 pada Ogos dan saya harap ia akan berikan kami kelebihan untuk persembahan kami di sini,” kata Teo.
Sejumlah 13 pingat emas untuk dimenangi pada sukan tarian yang berlangsung esok di Royce Hotel and Casino, New Clark City, di sini.. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!