Sukan SEA 2019 buka tirai gilang gemilang

Kontinjen negara yang diketuai Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan pembawa Jalur Gemilang, Muhammad Rafiq Ismail ketika memasuki perarakan masuk para atlet pada upacara perasmian Sukan SEA Manila 2019 di Philipine Arena sebentar tadi. - Foto Bernama
Kontinjen negara yang diketuai Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan pembawa Jalur Gemilang, Muhammad Rafiq Ismail ketika memasuki perarakan masuk para atlet pada upacara perasmian Sukan SEA Manila 2019 di Philipine Arena sebentar tadi. - Foto Bernama
A
A
A

TEMASYA Sukan SEA 2019 yang memasuki edisi ke-30 tahun ini dibuka secara rasminya dalam majlis pembukaan penuh gilang-gemilang di Phillipine Arena, Manila sebentar tadi.

Majlis perasmian temasya dwitahunan yang bertemakan ‘We Win as One’ itu berlangsung dengan pertunjukan warna-warni yang menonjolkan kepelbagaian budaya dan kesenian masyarakat tempatan.

Bagi peminat sukan tanah air, tumpuan sudah pastinya terarah kepada kontinjen Malaysia. Dengan diketuai Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan diiringi pembawa Jalur Gemilang yang juga jaguh boling, Muhammad Rafiq Ismail, kontinjen Malaysia kelihatan bergaya sebaik sahaja mereka bergerak memasuki Phillipine Arena.

Barisan atlet lelaki negara tampak segak dan perkasa apabila menyarung baju Melayu berwarna putih serta tengkolok hitam. Bagi atlet-atlet wanita negara pula, mereka kelihatan anggun dan bergaya apabila mengenakan persalinan baju kurung berwarna putih dan kain selempang.

Hadir selaku juara keseluruhan Sukan SEA 2017, kontinjen Malaysia membawa misi berbeza pada temasya Sukan SEA kali ini apabila sekadar menyasarkan kutipan 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa dalam 52 daripada 56 jenis sukan yang disertai.

Sasaran itu jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan pencapaian di Kuala Lumpur dua tahun lalu yang menyaksikan kontinjen Malaysia merangkul 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa, sekali gus dinobatkan selaku juara Sukan SEA edisi ke-29

Pada edisi kali ini, kontinjen Malaysia bakal disertai 773 atlet dan 339 pegawai sukan negara yang akan berkampung di tiga kluster iaitu Manila, Clark dan Subic sehingga majlis penutupan yang dijadualkan berlansung 11 Disember nanti.

Daripada 773 atlet berkenaan, 396 atlet merupakan muka baharu yang bertanding buat julung-julung kalinya pada temasya sukan dwitahunan itu, sekali gus membuktikan peranan penting persatuan sukan kebangsaan dalam mengetengahkan lebih ramai bakat-bakat baharu di pentas Sukan SEA.

Artikel Berkaitan:

Beberapa acara telah membuka gelanggang secara rasmi sejak 24 November lalu termasuk bola sepak lelaki, bola jaring, floorball dan polo di sekitar Manila selain acara polo air lelaki di Pusat Akuatik Clark, New Clark yang terletak lebih kurang 90 kilometer dari Manila.

Walaupun mendapat kritikan hebat pelbagai pihak kerana hanya menyasarkan 70 emas, ia boleh dikatakan agak realistik memandangkan Filipina mengambil keputusan mengurangkan beberapa acara yang menjadi ‘lubuk emas’ untuk kontinjen Malaysia seperti pencak silat, terjun dan memanah.

Keputusan Filipina memperkenalkan beberapa acara sukan baharu seperti hoki dalam air, sambo, kurash dan arnis (seni bela diri dari Filipina) selain menggugurkan beberapa sukan teras termasuk berbasikal trek dan hoki padang merupakan amalan biasa bagi mana-mana negara penganjur dalam meningkatkan peluang atlet mereka meraih pingat emas.

Biarpun diselubungi beberapa kontroversi obor Sukan SEA 2019 dinyalakan malam tadi, Filipina kini sudah bersedia menjadi gelanggang pertarungan buat lebih 8,000 atlet dari 10 negara anggota ASEAN dan Timor-Leste selepas berjaya menjadi hos pada edisi 1981, 1991 dan 2005.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!