Penghinaan kepada simbol negara
SIMBOL atau lambang negara seperti bendera, jatanegara dan banyak lagi adalah jati diri negara yang perlu dihormati dan dipertahan. Ia menandakan identiti negara yang kita ingin kenali. Ia perlu dihormati oleh bukan sahaja rakyat negara kita tetapi juga orang luar kerana ia merupakan lambang kepada kedaulatan negara.
Penghinaan terhadap lambang negara mestilah disifatkan sebagai penghinaan kepada negara itu sendiri.
Sedihnya simbol atau lambang negara ini seperti bendera Malaysia yang dikenali sebagai Jalur Gemilang beberapa kali tidak diberi penghormatan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sendiri.
Kita masih ingat suatu ketika dahulu Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik dan terkini bukan bendera negara yang dikibarkan dalam upacara rasmi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Lumrahnya apabila kesilapan itu berlaku, ada yang menyalahkan pihak lain supaya terlepas daripada sebarang tindakan. Musykilnya saya golongan ini menyalahkan pihak lain tetapi persoalan saya tidakkah mereka kenal bendera negara mereka sendiri?
Kalaupun pihak lain yang membuat kesilapan tidakkah mereka sepatutnya dengan pantas memperbetulkan kesilapan ini kerana ia sangat memalukan.
Dilaporkan pula insiden itu bukanlah kali pertama berlaku tetapi beberapa kali sudah dilakukan tanpa sebarang tindakan diambil.
Sedihnya bukan sahaja Jalur Gemilang tidak dihormati tetapi ada bendera negeri juga yang diterbalikkan.
Apapun tujuan ia dilakukan ataupun sekadar kesilapan, ia tidak sepatutnya berlaku. Ia sangat memalukan dan pihak yang menganjurkannya perlu bertanggungjawab sepenuhnya bukan mengalihkan kesilapan kepada pihak lain.
Permohonan maaf sahaja bagi saya tidak mencukupi kerana ia suatu kesalahan yang sangat menjejaskan maruah negara. Masakan rakyat sendiri tidak mengenali bendera kebangsaan mereka.
Hal itu belum lagi jika kita meneliti rakyat Malaysia yang gagal menguasai bahasa kebangsaan. Rakyat yang lebih mementingkan bahasa asing berbanding dengan bahasa kebangsaan sendiri. Saya percaya tidak ada negara lain di dunia ini yang ramai rakyatnya tidak menguasai bahasa kebangsaan sendiri.
Perkembangan itu sangat menggusarkan kerana orang Melayu pun sudah ada yang tidak menguasai bahasa kebangsaan kerana bertutur bahasa asing di rumah. Bukanlah saya kata kita perlu melupakan bahasa asing atau bahasa ibunda masing-masing. Penguasaan bahasa kedua dan ketiga memang memberi kelebihan kepada seseorang.
Namun apa yang penting ialah bahasa kebangsaan itu sendiri hendaklah dikuasai dengan fasih oleh setiap rakyat. Penguasaan bahasa kebangsaan penting bagi memupuk perpaduan sesama rakyat.
Nama negara juga pernah dinyatakan secara salah dengan meletakkan perkataan republik baru-baru ini. Penganjur meminta maaf dan mendakwa terdapat kesilapan di pihak mereka. Namun persoalannya rakyat Malaysia yang mewakili negara dalam pertandingan tersebut tidakkah tahu Malaysia bukan sebuah republik?
Kenapa tidak beliau enggan memakai selempang tersebut kerana ia bukan negara Malaysia? Hal ini bukan perkara kecil kerana ia melibatkan maruah negara.
Berbalik kepada penyalahgunaan simbol negara seperti Jalur Gemilang, saya menyeru supaya pihak berwajib menyiasat sepenuhnya motif perbuatan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
Mungkin sudah sampai masanya undang-undang digubal dengan mewujudkan kesalahan-kesalahan secara spesifik bagi perbuatan yang menghina simbol Malaysia.
Mungkin hanya ketika itu barulah sebahagian rakyat akan menyedari kepentingan simbol negara dan peri pentingnya kesetiaan kepada negara ini.
Lazim kita perhatikan di Malaysia walaupun suatu kesilapan besar dilakukan ia ditutup dengan permohonan maaf. Beberapa kali insiden seperti ini berlaku yang memberi natijah membangkit kemarahan rakyat kepada pihak berkuasa yang dilihat tidak mengambil tindakan sewajarnya.
Tampillah dengan tindakan tegas supaya rakyat dapat melihat keseriusan pihak berkuasa mengembalikan maruah negara. Saya menghargai beberapa orang menteri Kabinet yang bersuara dalam isu itu. Namun teguran sebegitu sahaja tidak bermakna tanpa tindakan yang tegas.
Rakyat sudah jelak dengan pelbagai perkara yang tidak masuk akal masih berlaku di Malaysia. Semangat patriotisme yang sangat rendah seperti itu tidak memberi sebarang keuntungan kepada negara. Ia hanya mendatangkan keresahan dalam kalangan rakyat kebanyakan di samping mengundang kemarahan dan menggores emosi.
Kenalilah jati diri negara, hormatinya dan pertahankan ia dari diperkotak-katik oleh mana-mana orang atau badan. Kalau bukan kita yang menghormati lambang negara siapa lagi?
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!