Pemuda MCA saran pembelajaran jawi sebagai mata pelajaran pilihan
SHAH ALAM - Pemuda MCA terus bertegas dengan pendirian untuk menentang pembelajaran jawi secara wajib di semua sekolah vernakular mulai tahun hadapan.
Ketuanya, Nicole Wong berkata, pendirian itu bukan bermaksud sayap parti itu menentang pembelajaran jawi tetapi sebaliknya tidak bersetuju ia dimasukkan dalam buku teks Bahasa Malaysia.
Malah, katanya, sehingga kini komuniti pendidikan Cina serta rakyat meluahkan rasa tidak puas hati berhubung perkara berkenaan.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerapkan pembelajaran tulisan jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) secara paksa. Pemuda MCA bukan menentang pembelajaran jawi tetapi ia tidak seharusnya dimasukkan dalam buku teks Bahasa Malaysia secara paksa.
“Sebaliknya ia harus dianggap (diterapkan) sebagai kajian dan penghayatan seni. Dengan itu, murid yang berminat untuk belajar itu dapat mempelajarinya sebagai pertukaran budaya antara etnik,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA ke-55 di Kuala Lumpur hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Buang prasangka buruk, rasis terhadap tulisan jawi
Untuk rekod, Ogos lalu Kementerian Pendidikan memutuskan pembelajaran tulisan jawi di sekolah Cina akan diteruskan hanya jika ia dipersetujui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid selain guru juga diberi kuasa untuk menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.
Sementara itu, Pemuda MCA akan terus mempertahankan pendidikan Cina dan tidak membenarkan ia (pembelajaran jawi) berlaku kepada sekolah rendah Cina.
Katanya, ia berdasarkan kepada apa yang berlaku ketika pihak Dong Jiao Zong menghantar memorandum kepada pihak Kementerian Pendidikan semalam.
“Kami tak akan berundur. Jika Kementerian Pendidikan tetap mahu melaksanakan pembelajaran jawi, lihat apa yang berlaku semalam.
“Dong Jiao Zong mengkritik kementerian kerana membuatkan mereka perlu menunggu kira-kira satu setengah jam sebelum wakil kementerian menerima memorandum tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!