Tuanku Azizah bertemu Setiausaha Agong SCMC di Abu Dhabi

Tunku Azizah (kiri) berkenan berangkat bertemu Reem Abdullah Al Falasi di General Women Union’s Office, Abu Dhabi hari ini. -Foto Bernama
Tunku Azizah (kiri) berkenan berangkat bertemu Reem Abdullah Al Falasi di General Women Union’s Office, Abu Dhabi hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat bertemu Setiausaha Agong Supreme Council for Motherhood and Childhood (SCMC) Emiriah Arab Bersatu, Reem Abdullah Al Falasi, di General Women Union’s Office, Abu Dhabi hari ini.

Pertemuan khas itu adalah antara atur cara Raja Permaisuri Agong sempena lawatan peribadi ke Abu Dhabi, mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka berdua, yang sedang dalam rangka lawatan peribadi empat hari, berangkat tiba di Abu Dhabi semalam.

Menurut kenyataan Istana Negara, menerusi pertemuan selama tiga jam yang bermula pada 11 pagi waktu tempatan, Raja Permaisuri Agong diberi sembah taklimat mengenai objektif penubuhan dan operasi SCMC serta berinteraksi bersama barisan kepimpinan SCMC.

Tunku Azizah turut diraikan dengan persembahan oleh kanak-kanak daripada pergerakan Pandu Puteri UAE dan berkenan melawat sekitar bangunan General Women's Union Office.

SCMC ditubuhkan oleh Almarhum Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan pada 2003, dengan objektif utama untuk meningkatkan martabat dan menjaga hak dan kepentingan wanita serta kanak-kanak di UAE serta menerajui penglibatan mereka di dalam proses pembangunan Negara Teluk ini.

Presiden SCMC ialah Sheikha Fatima binti Mubarak Al Kebti, yang bergelar “Mother of UAE”, bonda kepada Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Pada pertemuan itu, Raja Permaisuri Agong turut bertukar-tukar pendapat bersama Reem Abdullah Al Falasi, Setiausaha Agung Supreme Council for Motherhood and Childhood, UAE mengenai usaha-usaha meningkatkan martabat golongan wanita dan kanak-kanak di dalam pertemuan ini.

Artikel Berkaitan:

Selain daripada pertemuan bersama Reem Abdullah Al Falasi, Tunku Azizah turut berkenan berangkat melawat Sheikh Zayed Grand Mosque dan Louvre Museum Abu Dhabi.

Lawatan Seri Paduka berdua ke Abu Dhabi adalah di atas jemputan peribadi dan sebagai tetamu khas Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, bersempena perlumbaan Formula One Etihad Airways Abu Dhabi Grand Prix 2019, pusingan akhir musim ini yang berlansung esok di Yas Marina Circuit, Yas Island.

Pada Isnin, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan UAE di Zayed Sports City dan diikuti dengan majlis pertemuan semula (reunion) Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom yang dianjurkan oleh Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!