Jangan biarkan isu perkauman jadi kanser dalam kalangan rakyat: TPM

Dr Wan Azizah menyaksikan nyalaan pelita pada simbolik Sambutan Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Pandan hari ini. - Foto Bernama
Dr Wan Azizah menyaksikan nyalaan pelita pada simbolik Sambutan Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Pandan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai-nilai murni perpaduan perlu sentiasa dipupuk dan isu perkauman tidak seharusnya menjadi kanser atau barah yang akan menjejaskan perpaduan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, rakyat di negara ini telah berkongsi kemakmuran bersama serta mengamalkan kesaksamaan dan keterbukaan dalam meneruskan arus pembangunan negara.

“Kita kongsi kemakmuran supaya tiada sesiapa yang tertinggal dalam arus pembangunan negara.

“Kita boleh hidup bersama, tidak perlu katakan Melayu, Cina atau India, kita semua rakyat Malaysia.

"Ini penting dan perlu diteruskan. Inilah masa depan kita bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Parlimen Pandan yang dihadiri kira-kira 500 penduduk pelbagai kaum sekitar Pandan Indah.

Dr Wan Azizah yang merupakan Ahli Parlimen Pandan berkata, jika terdapat jurang dan perbezaan, ia perlu segera diperbetulkan.

Katanya rakyat juga perlu mengamalkan sikap toleransi dan menerima perbezaan antara kaum dan agama serta mengutamakan muhibah dan perpaduan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!