Kongres Nasional PKR: Tiada halangan perwakilan bahas sebarang isu
SHAH ALAM - Tiada halangan kepada semua perwakilan untuk membahaskan sebarang isu sepanjang Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2019 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) mulai 5 hingga 8 Disember ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua perwakilan boleh mengambil bahagian pada sesi perbahasan dan bebas bercakap apa sahaja, baik soal isu rakyat, manifesto pilihan raya, peluang pekerjaan dan sebagainya.
"Kesemua mereka boleh menggunakan platform ini seluas-luasnya untuk bercakap sebarang isu. Tiada halangan," katanya kepada Sinar Harian.
Sentimen itu turut dikongsi Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang mengakui tiada isu lain dirasakan akan berbangkit.
Beliau turut meluahkan keyakinan Kongres Nasional PKR 2019 akan berjalan lancar dan meriah di sebalik konflik pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Parti (MPP), Zakaria Abdul Hamid oleh Lembaga Disiplin PKR.
"Lagipun kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membayangkan kenyataan balas oleh 20 ahli MPP PKR membantah keputusan pemecatan Zakaria dan menuntut Ahli Parlimen Port Dickson memohon maaf tidak sepadu dibayangkan.
"Ini kerana Naib Presiden PKR, Tian Chua dan R Sivarasa sendiri menafikan mendesak Anwar meminta maaf. Isu 'kesepaduan dipertikai' sudah berlaku beberapa kali, termasuk beberapa kenyataan 'bersama' sebelum ini.
"Cuma saya mengingatkan perwakilan sentiasa berwaspada dan mematuhi tatatertib dan disiplin parti sepanjang Kongres berlangsung bagi mengelak dikenakan tindakan disiplin," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR sebulat suara menolak pemecatan Zakaria sebagai Ahli MPP parti itu dan menuntut Anwar memohon maaf.
Kenyataan bersama itu terkandung dalam memo bertajuk ‘Pemecatan Zakaria Abdul Hamid Sebagai Ahli MPP Keadilan Adalah Tidak Sah’ bertarikh hari ini yang ditujukan kepada Lembaga Disiplin PKR.
Tiga daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta dua Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.
Seramai 17 nama lain di dalam memo berkenaan ialah Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham dan Timbalan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi.
Mengenai atur cara perjalanan Kongres Nasional PKR 2019, Fahmi menjelaskan setiap perwakilan akan dibekalkan pengimbas QR bagi memudahkan mereka menerima maklumat terkini berkenaan kongres berkenaan.
Menurutnya, kesemua program kongres termasuk penglibatan sayap Angkatan Muda Keadilan(AMK) dan Wanita akan diadakan di lokasi sama iaitu MITC Melaka, sekaligus memudahkan semua pihak.
"Kongres PKR Nasional 2019 akan bermula pada malam 5 Disember lagi menerusi majlis perasmian Kongres Wanita PKR yang bakal dirasmikan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Seterusnya pada jam 8 pagi 6 Disember, persidangan Kongres Wanita dan AMK akan berlangsung serentak, diikuti perasmian kongres AMK PKR yang dijangka diadakan pada jam 2.15 petang hari sama. Persidangan kedua-dua kongres dijangka tamat pada 6 atau 7 petang," katanya.
Fahmi berkata, atur cara perjalanan Kongres Nasional PKR 2019 untuk 7 Disember pula bermula dengan ucapan dasar Presiden PKR yang dijangka berlangsung jam 9 pagi, diikuti sesi perbahasan usul menyokong ucapan dasar Presiden PKR yang akan bermula jam 2.30 petang.
Menurutnya, sesi perbahasan pada hari Sabtu itu dijangka akan ditangguhkan sekitar jam 5 hingga 6 petang dan disambung pada 8 Disember dengan sesi penggulungan dijangka bermula jam 9 pagi.
"Sesi penangguhan kongres dijangka sekitar 1 tengah hari pada Ahad," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!