'MCA terlalu bersikap eksklusif'

Kok Seong dan Jeniri
Kok Seong dan Jeniri
A
A
A

SHAH ALAM - Sejarah MCA terlalu cauvinis dan eksklusif kepada kelompok masyarakat Cina tertentu menjadikan kaum lain sukar menerima pelawaan parti itu menjadi ahli mereka pada masa hadapan.

Felo utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, langkah MCA bercadang membuka keahlian kepada masyarakat bukan Cina sebagai ahli bersekutu juga dilihat sebagai keputusan terdesak parti itu yang kini berada dalam keadaan paling lemah setelah mengalami kekalahan terburuk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, cadangan MCA cuba mengakhiri amalan parti berasaskan kaum diguna pakai selama ini turut dijangka tidak memberi sebarang momentum positif terhadap hala tuju perjuangan politik mereka bagi mendepani landskap politik semasa.

"Kalau kita singkap sejarah kegemilangan MCA suatu ketika dahulu sekitar tahun 70-an hingga 80-an, syarat tersirat untuk menjadi ahli parti itu perlu mengetahui bahasa Cina dan berkemampuan mempromosi bahasa dan budaya Cina di negara ini.

"Syarat itu menyebabkan MCA sebelum ini dianggap angkuh sehinggakan masyarakat Cina sendiri berasakan parti bersifat terlalu eksklusif dan chauvinis, sekali gus beralih menyokong DAP yang dilihat lebih terbuka.

"Kini apabila mereka dalam keadaan terdesak, mereka hendak buka keahlian kepada semua kaum. Saya lihat susah kaum lain hendak terima pelawaan MCA," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata, langkah diambil MCA perlu disambut baik kerana ia bersifat inklusif untuk selari dengan perubahan landskap politik semasa dan masa hadapan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan soal penerimaan kaum lain terhadap parti itu bergantung kepada perubahan dasar bakal diperkenalkan bagi memenuhi keperluan ahli-ahli kaum selain Cina kelak.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya dasar MCA bersikap adil dan terbuka terutama dari aspek pemilihan calon, pelantikan jawatan dalam parti dan dasar-dasar perjuangan terhadap kaum bukan Cina mungkin mereka akan mula terbuka menerima dan menjadi ahli parti itu.

"Selain itu, tidak mudah bagi MCA meraih sokongan kaum lain kerana mereka dilihat lebih tertarik menyokong atau menyertai parti-parti didominasi kaum Cina lain seperti DAP kerana berada dalam blok kerajaan.

Justeru, pendekatan terbaru MCA akan menjadi cabaran terbesar kepada mereka untuk merealisasikannya," katanya.

Selain itu, Jeniri turut menyifatkan tindak-tanduk semasa DAP sewaktu berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menjadi penentu kepada masa hadapan MCA untuk kembali diterima masyarakat Cina pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Sekiranya DAP terus gagal memenuhi keperluan masyarakat Cina sepanjang pentadbiran kerajaan PH, MCA perlu merebut peluang menjadi suara alternatif kuat kepada parti itu untuk kepentingan kaum Cina.

"Hanya langkah itu membolehkan MCA kembali mendapat tempat di hati masyarakat Cina dan relevan dalam politik tanah air," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: MCA buka keahlian kepada bukan Cina

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!