MOA perkasa industri lebah negara
JOHOR BAHRU - Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara 2020-2030 adalah usaha dan kesungguhan Kementerian Perta-nian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi memajukan, menaik taraf dan memperkasakan industri perlebahan negara ke peringkat antarabangsa.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pelan itu merupakan dokumen yang dihasilkan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Genom Malaysia (MGI) dan Akademi Kelulut Malaysia (AKM).
Menurutnya, industri kelulut berpotensi memberikan pulangan ekonomi sebanyak RM2.385 bilion setahun pada masa hadapan.
“Sebanyak 99 peratus daripada nilai tersebut disumbangkan oleh aktiviti pendebungaan kelulut dalam sektor pertanian, manakala madu kelulut menyumbang sebanyak RM19.27 juta daripada keseluruhan nilai ekonomi yang mampu dijana oleh industri tersebut.
“Oleh itu, penggiat industri dan pengguna di Malaysia diharap dapat membudayakan amalan pertanian baik ini sama ada dalam aspek pengurusan ladang dan pengeluaran produk mahupun sebagai pilihan produk dalam kalangan pengguna.
"Ia bagi memastikan rakyat Malaysia memperolehi sumber makanan yang dijamin berkualiti dan selamat dimakan,” katanya selepas melancarkan Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara 2020-2030 dan Pensijilan myGAP Pemeliharaan Lebah dan Kelulut di Angsana Johor Bahru Mall di sini semalam.
Salahuddin berkata, pelan pembangunan itu turut melibatkan pemain industri perlebahan yang turut menyumbang secara langsung dan tidak langsung.
Menurutnya, dokumen pelan yang dihasilkan bagi menyokong dan memulihara industri penternakan kelulut untuk jangka masa panjang.
“Ia bagi memastikan industri perlebahan tempatan tidak terpinggir dan dapat ditambah baik dari masa ke masa melalui pelbagai inisiatif yang bakal diketengahkan menerusi pendekatan penternakan kelulut.
“Kementerian mahu memastikan industri ini berada di landasan yang betul dan semua aspek industri kelulut dapat diberi perhatian, sekali gus kebajikan penternak dan usahawan lebah serta kelulut lebih terjamin pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin berkata, pelancaran pelan pembangunan dan pensijilan myGAP membuktikan kementerian serius membantu pemain industri dalam bidang berkenaan.
Menurutnya, kajian yang dijalankan oleh UMT selama 10 tahun membuktikan kelulut memberi sumbangan kepada kesihatan.
“Hasil kajian sebelum ini membuktikan madu kelulut keluaran Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan mendapat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa.
“Kementerian komited memperkukuhkan lagi bidang ini dengan melancarkan pensijilan myGAP pemeliharaan lebah dan kelulut dengan setiap usahawan yang mahu mengeluarkan produk ini digalakkan mendapatkan pensijilan myGAP terlebih dahulu,” katanya.
Katanya, kerajaan mengambil inisiatif memendekkan proses permohonan pensijlan myGAP bagi membantu usahawan terlibat.
Panduan ke arah penternakan lebih baik
Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara 2020-2030 dan Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) membantu memberi panduan kepada pengusaha lebah dan kelulut ke arah penternakan yang lebih baik.
Pengarah Urusan Kasih Hulu Langat Enterprise, Wan Ahmad Fuad Wan Ab Aziz, 60, berkata, dia percaya panduan yang disediakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu boleh dijadikan rujukan kepada pengusaha kelulut sepertinya.
Wan Ahmad Fuad berharap, pelan itu dapat menambah pengetahuannya mengenai prosedur operasi standard (SOP) ternak dan tuai menggunakan kaedah pengamalan yang terbaik.
Beliau yang mengusahakan produk jenama Kelulut Kasih berkata, dia mula bergiat aktif dalam bidang penternakan kelulut sejak tiga tahun lalu yang diusahakan di Batu 17, Dusun Tua Hulu Langat, Selangor.
Menurutnya, bermula dengan 30 sarang kelulut, kini kelulut yang diusahakan mencapai angka 170 sarang.
“Modal untuk memulakan penternakan itu tidak terlalu besar tetapi saya mula dengan jumlah sedikit dulu tanpa sebarang pengetahuan.
“Saya akui mengalami kerugian pada awalnya tetapi lama-kelamaan saya mula belajar. Saya berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Daerah Hulu Langat yang beri sokongan bantuan geran sebanyak RM50,000,” katanya.
Hasil ketekunannya, Wan Ahmad Fuad kini mampu tersenyum apabila kelulut yang diternak mula mengeluar-kan hasil selepas enam bulan diusahakan.
Sementara itu, Dzulfakar Muhamad, 42, yang mengusahakan madu kelulut di bawah jenama MS Bee Alley atau Lembah Kelulut Malaya di Hutan Lipur Lenggeng sejak 2014 berkata, potensi bidang perusahaan madu kelulut amat besar.
Namun katanya, perlu ada pemahaman yang menyeluruh jika berminat menceburi bidang berkenaan.
“Mulakan dengan satu sarang terlebih dahulu, jangan terus bermula dalam kuantiti yang besar.
“Bila sudah faham bagaimana untuk kendalikan lebah, minat akan datang dengan sendiri,” katanya.
Menurutnya, selain fokus dengan perusahaannya itu, dia turut memberi tumpuan kepada biodiversiti khususnya usaha-usaha memastikan lebah tidak pupus.
Sementara itu, Hidayat Shafie, 31, yang mewakili Persatuan Usahawan Lebah Kelulut Johor berkata, pihaknya giat mengadakan taklimat, latihan, pameran dan kelas percuma kepada pihak yang berminat mahu menceburi madu kelulut.
Katanya, modal permulaan sekitar RM400 sehingga RM500 untuk satu sarang dan perusahaan madu kelulut mampu memberikan pulangan hampir setiap bulan.
“Saya harap pasaran madu kelulut akan menjadi lebih baik. Orang ramai khususnya belia digalakkan menceburi perusahaan ini kerana potensinya yang luas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!