LPP galak peladang guna teknologi tingkat pendapatan
JOHOR BAHRU – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berusaha meningkatkan pendapatan peladang menerusi penggunaan teknologi.
Ketua Pengarahnya, Azulita Salim berkata, ia cara terbaik kerana negara membangun tidak lagi melaksanakan pertanian secara konvensional.
“Dengan keluasan tanah agak terhad dan keadaan cuaca tidak boleh dikawal, kaedah terbaik adalah menggunakan teknologi untuk pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran.
“Bagi urusan urus niaga pula, kita menggalakkan peladang menggunakan teknologi internet untuk segalanya (IoT) supaya mereka boleh mendapat hasil jualan serta-merta ketika proses penjualan berlaku,” katanya.
Azulita berkata, LPP akan menonjolkan kejayaan bisnes model dan membuat replikasi menerusi tinjauan potensi peladang yang dibuat di peringkat negeri.
Menurutnya, sebelum ini pertanian digambarkan sebagai 3D (dirty, dangerous, difficult), justeru pihaknya mahu menukar persepsi bahawa seseorang boleh duduk di kawasan berhawa dingin dan mengawal proses dalam pertanian hanya menerusi ‘smart phone’.
"Tetapi perkara ini tidak boleh dibuat dalam tempoh pendek, kita akan buat dengan kaedah sistematik,” katanya.
Terdahulu, Azulita berkata, HPPNK 2019 dianjurkan dua tahun sekali bagi memperingati, menyanjungi dan menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan sebagai pengeluar makanan negara.
Menurutnya, pelbagai teknologi dan kemodenan pertanian dipamerkan malah HPPNK turut menjadi platform peladang, penternak dan nelayan mempromosi barangan mereka.
“Kita dapati ada barangan keluaran mereka berpotensi dan ‘seksi’ untuk diketengahkan tetapi mereka tiada platform untuk memperomosikannya.
“HPPNK sebagai satu platform untuk mempromosi dan memasarkan barangan mereka dan ternyata sambutan pengunjung sungguh menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata, lebih 300,000 pengunjung ke HPPNK 2019 yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall di sini sejak Khamis lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!