MOA pastikan nasib peladang, petani terbela
JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan terus memastikan setiap peruntukan dan bantuan disediakan disalurkan dengan penuh tanggungjawab.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau juga berjanji akan terus membela dan memperjuangkan nasib peladang serta petani di seluruh negara.
“Selagi hayat dikandung badan, saya akan buat yang terbaik untuk membela dan memperjuangkan peladang serta petani. Itulah janji dan keutamaan saya apabila diamanahkan sebagai menteri di kementerian yang besar ini.
“Saya sedar perjuangan ini masih belum selesai, malah cabarannya masih berliku," katanya ketika berucap di depan lebih 700 Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang sekitar Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor pada Perhimpunan Pemimpin Peladang Zon Selatan Tahun 2019 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Angsana Mall Johor Bahru di sini semalam.
Pertemuan dua hala antara kepimpinan tertinggi MOA dengan pemimpin di bawah Pertubuhan Peladang itu sebagai platform kementerian menjelaskan dasar kerajaan, sekali gus memberikan ruang pemimpin Peladang menyuarakan permasalahan mereka.
Penganjurannya semalam juga bagi memberi kefahaman kepada pemimpin Peladang di semua peringkat berkaitan dasar dan hala tuju baharu yang diperkenalkan MOA.
Sementara itu, Salahuddin berkata, beliau akan memastikan struktur agensi di bawah kementerian sentiasa diperkukuhkan.
“Saya akan menghabiskan sebahagian sisa hidup bersama peladang dan petani membela nasib mereka dan akhirnya berupaya meningkatkan pendapatan mereka.
"Saya juga mahu melihat Pertubuhan Peladang dapat dimajukan,” katanya.
Menurutnya, terdapat sebahagian Pertubuhan Peladang yang menunjukkan kecemerlangan dalam urus tadbir dan perniagaan yang dijalankan.
Namun katanya, ada sebahagiannya yang masih bergelut untuk memajukan pertubuhan masing-masing.
“Tahun depan kita akan cuba melaksanakan dua atau tiga projek perintis dan saya berharap koperasi di bawah Peladang dapat berfungsi dengan baik.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mazlan Aliman berkata, menerusi himpunan berkenaan, Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang bukan sahaja boleh mendapatkan input daripada amanat yang disampaikan menteri, malah pada masa yang sama mendekatkan hubungan dua hala.
Menurutnya, pihaknya kini dalam proses memperkasakan Unit Peladang dan mencari jalan untuk memperkuatkan sektor pertanian yang berdepan cabaran hebat ketika ini.
“Kita akan melancarkan beberapa program termasuk Cuti-Cuti Peladang 2020, program kebajikan 'back to school' untuk anak-anak ahli Peladang yang berada dalam kategori asnaf dan melancarkan agro pertanian dalam konteks institusi pendidikan Islam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!