Mourinho puji melangit Dele Alli

Alli (kiri) ketika aksi liga menentang Bournemouth di Stadium Tottenham Hotspur semalam. -Foto AFP
Alli (kiri) ketika aksi liga menentang Bournemouth di Stadium Tottenham Hotspur semalam. -Foto AFP
A
A
A

PENGURUS Tottenham Hotspur, Jose Mourinho menghamburkan pujian kepada Dele Alli yang dianggap sebagai watak utama di sebalik tiga kemenangan yang diraih The Lilywhites sejak di bawah kendaliannya setakat ini.

Dua kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) serta satu pada kempen Liga Juara-Juara membuktikan betapa Alli kini menjadi hero baharu buat Mourinho.

Malam semalam, Alli membuktikan sentuhannya cukup berbisa apabila meledak dua gol selain mencipta satu bantuan gol bagi membantu Spurs meraih kemenangan 3-2 ke atas Bournemouth di Stadium Tottenham Hotspur.

"Saya tidak perlu bercakap mengenainya (Alli). Perkara terbaik bagi seorang jurulatih apabila anda tidak perlu bercakap mengenai seseorang pemain.

"Semua orang bercakap mengenainya terhadap apa yang telah dilakukannya. Dia bermain dengan begitu baik. Saya tidak perlu minta lebih daripadanya lagi.

"Sebelum saya hadir ke sini (Spurs), saya tidak begitu mengenalinya. Saya hanya tahu tentang kualiti yang ada pada dirinya. Saya tahu pemain yang mempunyai kualiti mampu memberikan impak.

"Dia antara pemain yang baik dalam pasukan ini. Dia bukan seorang yang pentingkan diri sendiri. Dia seorang pemain Spurs daripada keluarga yang baik," kata Mourinho.

Beraksi di laman sendiri, Alli membuktikan kualiti yang dimiliki apabila menjaringkan gol pertama Spurs hasil umpanan Son Heung-min pada minit ke-21.

Artikel Berkaitan:

Bintang skuad kebangsaan England itu sekali lagi tampil merobek gawang Bournemouth selepas lima minit aksi babak kedua bermula sebelum Moussa Sissoko meledak gol ketiga Spurs pada minit ke-69.

Begitupun, Bournemouth hampir mengejutkan kem Spurs untuk membawa pulang satu mata apabila memperoleh dua gol hasil jaringan Harry Wilson pada penghujung perlawanan.

"Bagi saya, Alli bukan seorang pemain tengah. Dia bukannya pemain yang sepatutnya bermain di posisi tengah, dia harus bergandingan bersama Harry (Kane) di barisan serangan... itu posisi terbaik buatnya," ujar Mourinho.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!