'Chelsea harus segera bangkit'
PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard mengakui skuad The Blues kini perlu menerima 'realiti sebenar' selepas tewas mengejut 0-1 kepada West Ham United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge malam semalam.
West Ham hadir ke gelanggang keramat itu tanpa sebarang kemenangan sejak pertemuan menentang Manchester United pada 22 September lalu.
Bagaimanapun, skuad kendalian Manuel Pellegrini itu akhirnya pulang dengan tiga mata berharga apabila memperoleh gol kemenangan menerusi jaringan Aaron Cresswell pada minit ke-48.
Kekalahan itu menyaksikan The Blues tewas dua kali berturut-turut dalam kempen liga domestik, sekali gus Lampard menuntut anak-anak buahnya bangkit pada aksi akan datang.
"Kadangkala anda akan mengalami hari yang suram. Kami sedang melalui proses pembelajaran, saya fikir aksi hari ini (malam kelmarin) tidak begitu teruk.
"Saya tidak sukakan kekalahan, saya benci tewas kepada West Ham dalam aksi derby London ini. Saya tidak suka perasaan seperti ini tetapi ini semua realiti sebenar buat kami.
"Ada banyak kerja yang harus dilakukan lagi selepas ini kerana saingan liga perdana cukup mencabar dan kami cukup merasainya hari ini (malam kelmarin)," kata Lampard.
Sekalipun menganggap falsafah yang dibawanya semakin menunjukkan impak positif, Lampard tetap tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya atas kekalahan tersebut.
"Secara umumnya, kami beraksi di bawah tahap sebenar. Saya tidak menjangkakan perkara ini kerana saya membawa masuk beberapa pemain bagi mengimbangi perlawanan.
"Kami sedar West Ham akan tampil beraksi di sini dengan corak permainan bertahan dan akan memberikan segala-galanya untuk meraih kemenangan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!