Penunggang motosikal dengar tazkirah di balai
MELAKA TENGAH - Seramai 116 penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan ketika Ops didik diberi tazkirah di pekarangan balai Polis Tengkera malam tadi.
Tazkirah berkenaan bertujuan mendidik mereka yang ditahan di atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan cukai jalan serta cukai jalan tamat tempoh.
Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shahrul Laili Masduki berkata, penunggang yang ditahan berusia bawah 30 tahun dan 31 daripada mereka didapati tiada lesen.
Menurutnya, 44 motosikal dikesan tiada cukai jalan serta 40 lagi diubah suai tidak mengikut spesifikasi.
"Kita tidak mengeluarkan saman tetapi menggunakan pendekatan ini bagi mengingatkan masih ramai yang menyayangi mereka," katanya.
Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.
Shahrul Laili berkata, kesemua mereka yang ditahan perlu menghubungi penjaga untuk mengambil mereka di balai polis berkenaan.
Sementara itu, Hasan Basri berkata, seramai 115 daripada 206 penunggang motosikal terlibat kemalangan maut di negeri ini dan jumlah itu adalah serius.
"Kita akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi mendedahkan mereka dengan peraturan jalan raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!