Sembilan maut, tiga cedera pesawat terhempas di South Dakota
SOUTH DAKOTA - Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan maut termasuk dua kanak-kanak manakala tiga yang lain cedera apabila sebuah pesawat terhempas di South Dakota, Amerika Syarikat semalam.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat turboprop enjin tunggal Pilatus PC-12 tersebut terhempas sejurus berlepas kira-kira 1.6 kilometer dari Lapangan Terbang Chamberlain.
Peguam Brule County, Theresa Maule Rossow berkata, juruterbang pesawat merupakan antara yang maut sambil menambah 12 penumpang berada dalam pesawat ketika nahas berlaku.
Rossow berkata, tiga mangsa terselamat dibawa ke hospital di Sioux Falls.
Difahamkan, pesawat yang berlepas dari lapangan terbang sebelum tengah hari (waktu tempatan) itu menuju ke Lapangan Terbang Idaho Falls di Idaho.
FAA berkata, pasukan penyiasat dalam perjalanan ke lokasi kejadian dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) akan mengetuai siasatan nahas. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!