MCA hipokrit dalam isu tulisan Jawi
SHAH ALAM - Pemuda DAP menyifatkan kenyataan Pemuda MCA yang membantah pelaksanaan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular sebagai hipokrit dan berunsur perkauman.
Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP, Muhammad Shakir Ameer Mohideen berkata, MCA hanya pernah menggunakan isu tersebut dengan menyalahkan DAP bertujuan menimbulkan kebencian walaupun ia dasar kerajaan terdahulu.
Menurutnya, MCA turut menggunakan isu tulisan jawi bagi memenangi hati pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
"Calon MCA, Wee Jeck Seng bersama pimpinan MCA menyatakan bantahan terhadap jawi dalam kalangan pengundi Cina tetapi menyatakan sebaliknya dalam kalangan pengundi Melayu.
"Ini adalah hipokrit daripada parti MCA yang disokong oleh parti Pas dan UMNO pada PRK lalu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam, Pemuda MCA terus bertegas dengan pendirian untuk menentang pembelajaran jawi secara wajib di semua sekolah vernakular mulai tahun hadapan.
ARTIKEL BERKAITANl: Pemuda MCA saran pembelajaran jawi sebagai mata pelajaran pilihan
Ketuanya, Nicole Wong berkata, pendirian itu bukan bermaksud sayap parti itu menentang pembelajaran jawi tetapi sebaliknya tidak bersetuju ia dimasukkan dalam buku teks Bahasa Malaysia.
Muhammad Shakir turut mendesak UMNO dan Pas menyatakan pendirian berhubung kenyataan pimpinan sayap MCA itu.
"Adakah parti UMNO dan Pas ingin menyalahkan DAP atas sikap perkauman parti MCA?
"Baru dua minggu MCA memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai, mereka sudah menunjukkan belang mereka," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Hormat keputusan mahkamah benar tulisan jawi diajar di sekolah Cina, Tamil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!