MOF harap masalah petani diselesaikan segera

Amiruddin (tiga dari kanan) memakaikan uniform sekolah kepada seorang pelajar sebagai simbolik perasmian Back to School 2019 di Dewan Terbuka, Masjid Hidayatol Solihin, Sungai Baru Gunong, Alor Setar hari ini.
Amiruddin (tiga dari kanan) memakaikan uniform sekolah kepada seorang pelajar sebagai simbolik perasmian Back to School 2019 di Dewan Terbuka, Masjid Hidayatol Solihin, Sungai Baru Gunong, Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dapat menyelesaikan segera agihan baja subsidi di Kedah dan Perlis.

Menurutnya, di peringkat Kementerian Kewangan (MOF), peruntukan bagi input pertanian kepada MOA berjalan seperti biasa setiap tahun.

"Peruntukkan sudah diberikan kepada MOA seperti sebelum ini namun difahamkan ada sedikit masalah di peringkat agihan baja apabila ada masalah daripada pembekal.

"Dalam isu bekalan baja subsidi ini, tiada masalah pun di peringkat MOF. Kami sudah salur peruntukan seperti biasa," katanya selepas merasmikan Program Back To School 2019 di Masjid Hidayatol Solihin, Sungai Baru dekat sini hari ini.

Amiruddin berkata, masalah itu mampu diselesaikan sekiranya pihak berkaitan tahu di mana tempat atau isu yang perlu diberikan keutamaan.

"Pengagihan itu sepatutnya disediakan pada kuantiti dan kualiti yang diperlukan, kepada siapa yang memerlukan dan kawasan mana yang perlukan. Apabila ia diagihkan pada sasaran yang betul maka masalah ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit berkata, masalah tersebut juga telah membuka ruang kepada segelintir pihak yang mengambil kesempatan ke atas kekurangan bekalan benih dan baja.

"Dulu masa agihan benih subsidi belum sampai, harga benih tanpa subsidi pun naik dan ini akan membebankan petani. Masalah sama juga berlaku dengan agihan baja.

Artikel Berkaitan:

"Masalah sama juga berlaku dengan agihan baja. Dalam hal ini Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) berpengalaman namun berlaku sedikit salah faham berkaitan tender terus kepada pertubuhan itu. Namun jika Nafas mampu memberikan harga berpatutan, menepati kualiti yang diharapkan oleh MOA, maka boleh dipertimbangkan untuk diberikan tender tersebut. Paling penting ia mampu memberikan keuntungan kepada lebih 900,000 ahlinya," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain berkata, berdasarkan laporan awal diterima kira-kira 20,000 beg baja yang dihantar membabitkan 27 Pertubuhan Peladang Kawasan MADA Kedah/Perlis.

Menurutnya, jumlah itu tidak cukup menampung permintaan seluruh 68,000 petani yang mengusahakan sawah dalam kawasan MADA dan jumlah baja yang belum dihantar adalah 1,890,000 beg.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan petani di Perlis gusar berikutan baja bersubsidi belum sampai dan mendakwa aktiviti menabur benih sudah dilakukan kira-kira 40 hari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!