Bapa sakit, pengantin nikah di hospital
SEREMBAN – Pasangan pengantin terpaksa dinikahkan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, Jumaat lalu, selepas bapa pengantin perempuan dimasukkan ke hospital sehari sebelum majlis akad nikah berlangsung.
Nurul Ain Razali, 22, memberitahu, dia pada awalnya berhasrat membatalkan sahaja majlis akad nikah tersebut selepas ayahnya tiba-tiba jatuh di rumah pada Khamis lalu selepas pening dan leher bengkak, namun keputusan itu dihalang ibu dan bapanya.
Menurutnya, bapa saudaranya kemudian mencadangkan majlis tersebut diadakan di hospital.
“Jadi saya cuba tanya dengan tok imam sama ada boleh atau tidak kami bernikah di hospital dan dia beritahu tiada masalah, asalkan dapat kebenaran dari pihak hospital.
“Saya bincang dengan ibu dan atas bantuan kakak saudara yang bekerja sebagai jururawat di HTJ, sejam sebelum majlis akad nikah berlangsung, kami dapat kebenaran untuk bernikah di hospital,” katanya.
Kata Nurul Ain, dia dan ahli keluarga serta jurunikah bergegas ke hospital dan lebih kurang jam 6.30 petang, dia selamat dinikahkan dengan pasangannya, Ahmad Riduan Ariff, 24, berwakilkan imam sambil disaksikan ayahnya.
Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, majlis kenduri kahwin yang dirancang semalam pula tetap diteruskan kerana segala persiapan telah dibuat meskipun tanpa ayahnya.
“Inilah dinamakan yang kita hanya merancang dan Allah yang tentukan. Selepas selesai majlis bersanding di rumah saya di Kampung Siliau, Rantau di sini, saya dan suami dengan pakaian pengantin terus ke hospital melawat ayah.
“Memang sedih pada hari bahagia saya, ayah pula ditahan di wad tapi saya tetap gembira kerana ayah ada di sisi saya ketika majlis akad nikah,” katanya.
Berhubung kesihatan ayahnya, Nurul Ain memberitahu, ayahnya menghidap penyakit buah pinggang sejak setahun lalu dan perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu di Pusat Hemodialisis Mawar di Rantau, di sini.
Katanya, dalam tempoh sembilan bulan sebelum majlis pernikahannya berlangsung, ayahnya kerap keluar masuk ke hospital kerana kesihatannya tidak menentu.
“Empat kali ayah keluar masuk wad antaranya disebabkan darah kotor dan jangkitan kuman.
"Minggu lepas ayah sekali lagi ditahan kerana tiub dialisis di lehernya tercabut tapi selepas dua hari, dia dibenarkan keluar," katanya yang turut berharap keadaan ayahnya cepat pulih supaya dapat menyertai majlis bertandang di rumah pengantin lelaki pada 22 Disember ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!