'Reptilia melompat' tiada peluang jadi calon BN
KUALA LUMPUR - Pemimpin-pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) yang ingin berpaling tadah dan cuba menjadi 'reptilia melompat' tidak berpeluang untuk menjadi calon yang mewakili parti itu dalam pilihan raya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kumpulan tersebut harus menyedari bahawa kuasa untuk menandatangani watikah pelantikan calon pilihan raya adalah terletak pada dirinya.
Menurutnya, meskipun beliau dilihat seolah-olah berdiam diri namun tindakan akan diambil terhadap kumpulan terbabit ini apabila tiba waktunya.
"Sewaktu diuji, kita mahu lihat siapa 'reptilia melompat' dan jangan lupa saya perhati. Jangan juga lupa kuasa tandatangani watikah (pelantikan calon pilihan raya) adalah di tangan Pengerusi BN.
"Sekarang saya tidak ambil tindakan. Tiba masanya jangan harap saya akan menandatangani watikah pelantikan calon kepada mereka yang tidak taat setia," katanya ketika berucap pada perasmian Perhimpunan Agung MCA ke-66 di Dewan MCA hari ini.
Tanpa menyebut nama mana-mana pemimpin BN terbabit, Ahmad Zahid mengakui ada dalam kalangan pemimpin itu mahu menjadi 'reptilia melompat'.
Beliau juga mengambil contoh beberapa individu yang melompat sebelum ini setelah kekalahan UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) namun menyatakan kekesalan akibat tindakan mereka.
"Diam bukan bererti kita tidak pandai. Diam bukan bererti kita tidak mahu mengambil tindakan. Diam diam ubi berisi, tiba masanya kamu akan tahu apa yang saya akan lakukan," katanya.
Sebelum ini, wujud dakwaan gerakan 'pintu belakang' membentuk kerajaan baharu yang mengaitkan nama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggerakkan usaha tanpa penglibatan dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
Bagaimanapun, Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO menafikan dakwaan tersebut.
Terbaharu, nama Hishammuddin terus dikaitkan lagi dengan dakwaan 'melompat' parti apabila media melaporkan lebih 20 ahli Parlimen bersama-sama beliau bertemu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kediaman menteri hal ehwal ekonomi itu di Putrajaya pada 19 November lalu.
Dipercayai kesemua mereka berada di rumah tersebut sejak jam 7 petang dan kelihatan meninggalkan kediaman Azmin pada jam 11 malam.
Sinar Harian difahamkan pertemuan diadakan sehari selepas hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai itu bertujuan mendapatkan sokongan ahli Parlimen terbabit untuk menggagalkan peralihan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!