Banjir: Bomba bantu hantar jenazah ke kubur

Anggota bomba turut membantu mengusung jenazah sehingga ke tanah perkuburan.
Anggota bomba turut membantu mengusung jenazah sehingga ke tanah perkuburan.
A
A
A

PASIR MAS - Jasa yang tiada batas dan hadnya apabila anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang bukan sahaja menyelamatkan mangsa banjir malah turut menghulurkan bantuan membawa jenazah ke tanah perkuburan di Kampung Bakong di sini hari ini.

Jenazah Fatimah Awang, 73, dibawa menaiki trak bomba selepas pekarangan rumah Allahyarham dinaiki air sedalam satu meter.

Suaminya, Ya Kassim, 73, berkata, Fatimah meninggal dunia pada jam 10.30 malam tadi selepas terjatuh ketika cuba mengalihkan motosikal di depan rumah yang dinaiki air sejak petang semalam.

Katanya, ketika kejadian dia berada di dalam rumah dan dikejutkan dengan suara cucu yang menjerit memberitahu neneknya rebah.

“Saya bergegas keluar dan cuba untuk mengangkat arwah namun tidak berdaya sebelum meminta bantuan jiran serta menelefon anak-anak.

"Selepas itu pihak Klinik Kesihatan Meranti mengesahkan isteri saya sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga memohon bantuan pihak polis dan bomba kerana tidak dapat membawa jenazah keluar daripada rumah akibat sudah terkepung banjir.

“Kami terpaksa memohon bantuan pihak polis dan bomba untuk menyelesaikan pengurusan jenazah dan membawanya ke di Tanah Perkuburan Banggol Che Wan.

Artikel Berkaitan:

“Jarak tanah perkuburan ini sejauh lapan kilometer dari rumah kami kerana tanah perkuburan yang terdekat turut dinaiki air,” katanya.

Ya berkata, Allahyarham tidak mempunyai sebarang penyakit.

“Sayu hati saya apabila isteri tercinta ‘pergi’ dahulu kerana baru beberapa hari lalu kami duduk berbincang tentang kematian namun saya terima dengan hati terbuka.

“Arwah pasti akan dirindui terutama dalam kalangan cucu yang sangat rapat dengannya.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dan bomba yang membantu kami,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!