PCG Be Green kutip 1,450kg sampah
DUNGUN - Tengkujuh tidak menghalang 500 peserta bergotong-royong membersihkan Pantai Paka dan mengutip 1,450 kilogram (kg) sampah sempena Program PCG Be Green di pantai Paka, di sini hari ini.
Daripada jumlah kutipan di sepanjang pesisir pantai sejauh 3.5 kilometer itu, 870kg adalah sampah yang boleh dikitar semula dan kemudian diasingkan untuk dihantar ke pusat kitar semula.
Program anjuran Petronas Chemical Group Berhad (PCG) dengan kerjasama Yayasan Petronas itu melibatkan 500 sukarelawan yang terdiri daripada komuniti setempat, para pelajar dan kakitangan Petronas.
Pengarah Urusan PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, program PCG Be Green pada tahun ini diadakan di empat lokasi di seluruh negara dan ia dimeriahkan dengan aktiviti pembersihan sungai dan pantai sebagai inisiatif pendidikan bagi meneraju agenda Ekonomi Plastik Baharu.
Melalui program itu menurutnya, PCG ingin menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjiwai kempen kesedaran PCG iaitu #recycleforlifecycle yang akan diteruskan sehingga tahun depan.
"PCG berhasrat untuk menjadi rakan solusi dalam menangani masalah pencemaran plastik dan menyokong kerajaan bagi mencapai Pelan Ekonomi Circular melalui penglibatan langsung dalam 'Malaysia Plastics Pack'.
"Dari sudut ini, kami memberi fokus kepada bidang inovasi dan infrastruktur. Baru-baru ini kami telah bekerjasama dengan dua pemain industri bagi menilai potensi dalam pembangunan loji sistem pemulihan dan rawatan canggih modular (SMART), loji sisa-kepada-tenaga dan loji sisa plastik kepada naphta mentah.
"PCG juga sedang menilai untuk menawarkan penyelesaian kepada pemilik-pemilik jenama bagi memenuhi komitmen mereka dalam penggunaan pembungkusan yang mesra alam," katanya hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemical Ammonia Sdn Bhd, Ahmad Zaiyan M Kassim, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman.
Program tahunan ini yang bermula sejak tahun 2013 merupakan sebuah program kesedaran pemuliharaan alam dan penggunaan plastik secara berhemah yang dijalankan dengan usahasama Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA).
Pada tahun ini, program PCG Be Green telah berjaya mengumpul lebih 2,700kg sampah dengan 1,290kg adalah sampah boleh dikitar semula.
PCG juga telah berjaya mencapai hampir daripada 17,000 pelajar dan komuniti dalam pendidikan plastik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!