Mohon faraid: Ibu JJ fail jawapan bantahan menantu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu kepada Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter pada 2015, hari ini memfailkan afidavit jawapan terhadap bantahan awal yang dikemukakan menantu dan cucunya berhubung permohonan sijil faraid pembahagian harta Jamaludin yang bernilai lebih RM2 bilion.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili Aminah Abdullah, 85, selepas pengurusan kes di dalam kamar Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Siti Zulaiha Mohamad Mansor, di Mahkamah Tinggi Syariah, sini.

“Aminah hari ini telah failkan afidavit jawapan terhadap bantahan awal yang difailkan waris-waris iaitu balu Allahyarham, Puan Sri Dr Kalsom Ismail dan empat anak. Mahkamah tetapkan 4 Mac untuk pengurusan kes bagi membolehkan waris tersebut memfailkan afidavit balasan,” kata Nur Hidayah.

Selain itu, berhubung kes tuntutan harta sepencarian yang dibuat Kalsom sebelum ini, peguam tersebut memberitahu mahkamah menetapkan 12 Feb untuk pengurusan kes seterusnya.

Pada 2 Mac tahun lepas, Aminah memfailkan permohonan mendapatkan sijil faraid untuk pembahagian harta Allahyarham yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Balu Allahyarham turut memfailkan tuntutan harta sepencariannya bersama Allahyarham beberapa bulan selepas permohonan faraid itu.

Jamaludin yang merupakan bekas menteri dan juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat meninggalkan seorang balu iaitu Kalsom, 63, dan empat anak iaitu Ikwan Hafiz, 32; Nur Anis, 34; Nurul Alyaa, 28 serta Noor Adilla, 24.

Pada 4 April 2015, Jamaludin yang ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Artikel Berkaitan:

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Pada prosiding hari ini hanya peguam syarie Datuk Shamsuriah Sulaiman yang mewakili Kalsom dan peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman bagi pihak empat anak Allahyarham hadir manakala Aminah, Kalsom, serta empat anak Allahyarham dan adik tiri Jamaludin yang sebelum ini sentiasa hadir ke mahkamah, tidak kelihatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!