Bayi 'Batman’ berjaya buang sebahagian tanda lahir
FLORIDA - Kejayaan pembedahan membuang tanda lahir seperti 'Batman' pada seorang bayi disifatkan sebagai hadiah paling bermakna oleh ibunya menjelang sambutan Hari Krismas tidak lama lagi.
Bayi tersebut, Luna Tavares Fenner, 8 bulan, telah menjalani rawatan pembedahan di Rusia selepas terbang sejauh 9,656 kilometer dari kediamannya di selatan Florida, Amerika Syarikat, lapor Mirror.co.uk memetik sumber.
Carol yang merupakan ibu kepada Luna berkongsi gambar yang memaparkan anaknya itu memakai pembalut luka di bahagian dahi yang menunjukkan pembedahan pertama itu berjaya dan semakin pulih.
Luna sejak dilahirkan mengalami masalah kulit dikenali sebagai 'congenital melanocytic nevus' bakal menjalani pembedahan susulan bagi membuang keseluruhan tanda lahirnya itu.
“Keputusan pembedahan yang kami perolehi amat menakjubkan dan kini 100 peratus yakin dengan keputusan untuk merawat anak kami di Rusia. Kami akan ke sana lagi.
“Ini adalah hadiah terbaik Krismas buat kami sekeluarga apatah lagi berita ini datang lebih awal. Terima kasih kepada Dr Popov yang telah melakukan rawatan dan pembedahan kepada anak saya,” katanya.
Terdahulu, Carol dimaklumkan oleh seorang doktor di Amerika Syarikat bahawa proses menghilangkan tanda lahir menggunakan laser memberi risiko tinggi kepada anaknya.
Bagaimanapun, kisah Luna yang menjadi tajuk utama di media sosial itu menarik perhatian seorang doktor di Rusia yang menawarkan rawatan dengan kaedah laser terhadap bayi itu.
“Ia tidak akan meninggalkan kesan parut kerana tiada sebarang jahitan dilakukan tetapi mungkin sedikit kesan kerana perbezaan warna kulit sedikit. Bagaimanapun, ia masih terlalu awal untuk mengetahuinya.
“Ia memakan masa berbulan untuk kulit itu sihat sepenuhnya dan segalanya bergantung kepada kulitnya," kata doktor tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Luna si bayi 'Batman'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!