Dijel sebulan gara-gara ponteng solat Jumaat
HULU TERENGGANU - Enam lelaki dipenjara sebulan dan didenda oleh Mahkamah Syariah Hulu Terengganu, Kuala Berang hari ini selepas mengaku bersalah meninggalkan solat Jumaat, Ogos lalu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof terhadap tertuduh Muhammad Aliff Fikri A Mazzani, 19, Muhamad Hafizi Abdul Razak, 22, Abdul Malek Mohd, 25, Khairul Azle Abdul Rasid, 35, dan dua remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didapati dengan melakukan kesalahan itu di kawasan perkelahan Air Terjun Sekayu antara jam 1 hingga 1.50 petang pada 23 Ogos lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) pindaan 2016 yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 terhadap tertuduh, Khairul Azle yang juga bapa kepada dua anak.
Mahkamah menetapkan hukuman denda lebih tinggi terhadap Khairul Azle memandangkan tertuduh sepatutnya menjadi contoh yang baik sebagai ketua keluarga.
Lima lagi tertuduh yang masih bujang dijatuhi hukuman denda RM2,400 dan sebulan penjara.
Kesemua tertuduh turut berdepan hukuman tambahan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie Nurul Taqwa Hasbul manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasar fakta kes, kesemua tertuduh dicekup ketika operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di kawasan terbabit.
Operasi terbabit dijalankan dengan menempatkan anggota wanita untuk membuat pemantauan terlebih dahulu sebelum penguat kuasa lelaki melakukan serbuan sebaik selesai solat Jumaat.
Ketika pemantauan dijalankan, ada antara mereka didapati sedang mandi dan bersantai bersama keluarga di kawasan itu sehingga meninggalkan solat Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!