20 kenderaan ditenggelami banjir kilat
MELAKA TENGAH - Hujan lebat lebih dua jam menyebabkan 20 kenderaan di sekitar sebuah pusat beli-belah di Lebuh Ayer Keroh di sini ditenggelami air akibat banjir kilat.
Hujan bermula kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan air di kawasan rendah bertakung dan melimpah hingga menyebabkan beberapa kenderaan ringan terkandas di laluan tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Melaka, Zulkifli Nordin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima aduan awam dan mendapati kira-kira 20 kenderaan ditenggelami air.
"Kita mendapati beberapa kawasan termasuk di bahagian belakang bangunan pusat beli-belah yang menempatkan sebuah pasar raya dan pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dimasuki air," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Sementara itu seorang pengunjung Melaka Mall, Az Hilal Fakarullah Azham, 18, berkata, dia bersama rakannya terpaksa meredah air paras pinggang untuk memeriksa kenderaan yang ditenggelami air kerana bimbang sekiranya ada mangsa yang terperangkap.
"Sebelum itu kami sempat membantu mengalihkan kereta rakan dan ternampak ada lampu kenderaan lain yang menyala.
"Kami terus meredah air dan mendekati kenderaan tersebut namun nasib baik tiada orang," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Leftenan Kolonel (PA) Efrendy Ali berkata, sehingga jam 8.15 malam tadi tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!