Genting Malaysia nafi fenomena aneh burung helang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Genting Malaysia Bhd (Genting Malaysia) menafikan penyebaran berita palsu mengenai fenomena aneh sekumpulan burung helang yang terbang di kawasan pusat peranginan tersebut.

Menurut satu ciapan dalam Twitter rasmi syarikat tersebut @RWGadvisory, Genting Highlands mengalami cuaca sejuk dan berkabus sejak beberapa hari lalu.

"Penyebaran mesej tentang burung helang yang berlegar di ruang udara Genting Highlands menerusi aplikasi WhatsApp adalah berita palsu," katanya.

Hari ini, tular rakaman video sekumpulan burung helang yang terbang di sekitar kawasan yang didakwa berlaku di Genting Highlands.

Turut disebarkan ialah rakaman audio seorang lelaki berbahasa Melayu dengan pelat Cina yang meminta orang ramai supaya tidak mengunjungi kawasan pelancongan yang popular itu selama seminggu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail berkata, kumpulan burung yang ditularkan itu adalah jenis burung Asian Open Bill Stork yang berhijrah dari hemisfera utara.

"Peminat burung dalam kalangan ahli MNS yang memantau burung berhijrah setiap tahun. Ini bukanlah kali pertama tetapi mula diperhatikan oleh peminat burung MNS sejak 2008 lagi.

"Kalau kita ke Jitra mengikut Lebuh Raya Utara Selatan kita akan dapat lihat di kiri kanan lebuh raya dalam sawah padi selepas Plaza Tol Pendang.

Artikel Berkaitan:

"Burung ini dikatakan membantu petani mengawal siput gondang emas yang merupakan perosak padi di Kedah," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pada kebiasaannya, burung tersebut berhijrah dari hemisfera utara dari bulan September atau Oktober sehingga bulan Februari atau Mac

"Burung berhijrah ke selatan yang lebih panas untuk meneruskan kehidupan. Kawasan utara sejuk dan diselaputi salji sukar untuk mendapatkan makanan.

"Burung penting yang selalu mendapat perhatian ialah burung pantai berhijrah, burung pemangsa dan beberapa kumpulan lain yang boleh dilihat di hutan-hutan," katanya.

Ahmad berkata, burung berhijrah pantai banyak di kawasan pantai seperti Teluk Air Tawar, Seberang Perai dan Kuala Gula termasuk beberapa kawasan di Pantai Barat Selangor.

"Selain itu, burung pemangsa yang dapat dilihat menyeberangi Selat Melaka dari Pulau Rupat, Sumatera hingga ke Tanjung Tuan, Melaka pada bulan Februari dan Mac," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!