Julian dalam kelas tersendiri
MANILA - Olimpian negara, Julian Yee beraksi cemerlang dalam acara iringan lagu ‘rock & roll’ untuk mempertahankan pingat emas dalam acara luncur ais lelaki Sukan SEA Filipina 2019 di gelanggang luncur ais SM Megamall di sini hari ini.
Berpakaian seluar hitam dengan leher bulat berwarna hitam dan putih, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu memperagakan aksi memukau dengan gaya putaran, lompatan dan tricks untuk mengungguli acara free skating dengan 139.27 mata.
Atlet berusia 22 tahun itu yang mendahului saingan selepas mengumpul 63.4 mata pada acara short program Jumaat lalu, merangkul emas dengan jumlah pungutan 202.62 mata.
Pemenang pingat emas ditentukan menerusi pungutan mata tertinggi selepas dua program tersebut,
Peserta tuan rumah, Christopher Caluza merangkul pingat perak dengan 180.22 mata manakala wakil Thailand, Micah Kai Lynette mendapat gangsa dengan jumlah kutipan 174.06 mata.
Memilih rentak perlahan dan klasik lagu Kings and Queens, AC/DC dan Seven Nation Army, Julian berjaya menarik perhatian juri dan penonton dengan gaya menarik dalam saingan free skating selama empat minit itu.
“Saya cuba untuk melibatkan diri dengan penonton untuk membuat semua orang bersama saya, seolah-olah mereka turut meluncur bersama saya. Saya cuba melakukan persembahan lebih daripada meluncur.
“Saya agak terkejut apabila semua orang bersorak untuk saya, malah saya menjangka mereka akan memberi sokongan padu terhadap peluncur tuan rumah,” katanya kepada pemberita selepas persembahan tersebut.
Julian yang merupakan peluncur Malaysia pertama beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan, berharap kejayaannya akan menarik perhatian lebih ramai ramai rakyat Malaysia menceburi dalam sukan musim sejuk seperti acara luncur air, figure skating dan ais hoki.
Terdahulu dalam acara wanita, dua wakil negara Aina Sorfina Mohd Aminudin menamatkan saingan di tempat keenam dengan mengumpul 85.24 mata manakala Chew Sze Chyi menghuni tempat kesembilan dengan catatan 71.76 mata.
Peluncur Singapura dan pemenang gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Chloe Xuanling merangkul emas dengan jumlah kutipan 152.67 mata manakala Alisson Krystle Perticheto dari Filipina mengutip perak dengan 132.76 mata.
Peluncur Indonesia, Savika Refa Zahira membawa pulang pingat perak dengan 100.8 mata. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!