RM10 terakhir daripada ayah
MELAKA TENGAH – Seorang pengguna Facebook mencari pemilik wang kertas RM10 yang dijumpainya di sebuah bank di Batu Berendam di sini.
Pemilik Facebook dikenali Hyza Ezany berkongsi gambar wang kertas yang tertulis nota itu di media sosialnya dan berharap pemiliknya dapat menghubunginya.
“Mencari pemilik tulisan atas duit ni. Nak bagi percuma sahaja kepada pemiliknya. Tolong saya 'share' hingga jumpa ya! Terima kasih adik kakak abang yang sudi bantu.
“Sebak bila terbaca ayat ini dan terasa pemiliknya sedang tercari-cari. Andai kamu punya, boleh dapatkannya daripada saya,” tulisnya.
Nota yang tertulis di atas wang berkenaan adalah “Wang terakhir yang ayah saya beri pada hari Jumaat bertarikh 21/5/2010 pada jam 7.10 pagi. Saya sayangkan ayah."
Perkongsian gambar tersebut kini tular dengan meraih 6,800 tanda suka, dikongsi 20,000 pengguna ini dan rata-rata netizen sebak kerana beranggapan itulah duit terakhirnya yang ayahnya berikan.
“Mungkin ini duit terakhir bapak dia bagi. Bapak dia mungkin sudah tiada ataupun dia nak simpan duit itu tapi terpakai jugak,” tulis Nurul Atika di Facebook.
Jamilah Ahmad pula memberitahu “Tengok dari kesan lipatan duit itu dia buat origami bentuk love. Semoga bertemu kembali dengan pemilik tulisan."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!