Empat bulan tempoh tunjuk prestasi: Athirah
BANGI - Ahli Dewan Negara, Senator Aiman Athirah@Raj Munni Sabu Al Jundi dilantik sebagai Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) yang baharu bagi menggantikan Dr Siti Mariah Mahmud.
Athirah memperoleh 209 undi daripada 294 pengundi yang hadir dalam pemilihan Jawatankuasa AWAN Nasional di Pusat Konvensyen Bangi di sini hari ini.
Sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Norhayati Bachok mendapat jumlah undian sama dengan Athirah pula diumumkan sebagai Timbalan Ketua Awan Nasional bagi sesi 2020-2013.
Selain itu turut diumum, Anfaal Saari yang berada di kedudukan teratas dengan pungutan 279 undi paling tinggi dilantik sebagai Naib Ketua (1).
Dalam pada itu, dua lagi Naib Ketua Awan Nasional yang baharu disandang Aida Yusof Rawa dan Norhayati Bidin yang masing-masing memperoleh sebanyak 195 dan 204 undian.
Sementara itu, Athirah menetapkan tempoh selama empat bulan kepada ahli jawatankuasa yang baharu dan bakal dilantik selepas ini untuk menunjukkan prestasi masing-masing.
"Ada empat objektif dan tiga strategi akan menjadi perkara yang akan diutamakan serta menjadi hala tuju Wanita Amanah Nasional susulan berakhirnya pemilihan berkenaan.
"Selepas daripada Konvensyen Nasional ini kita akan buat pertemuan balik untuk 'retreat'. Untuk dihadamkan balik apa saya sebutkan tadi memang ada beberapa perkara perlu disusun semula," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas diumumkan sebagai Ketua Wanita Amanah yang baharu bagi menggantikan Dr Siti Mariah.
Menurutnya, kebanyakan jawatankuasa mempunyai kekuatan masing-masing dan yakin jika diberi peranan yang baik boleh memberikan hasil terbaik.
"Macam juga menteri, kalau kita pilih menteri yang bagus kementerian akan 'perform'. Kalau kita pilih silap, kementerian tak akan perform.
"Sama juga yang ini (pemilihan). Kalau mereka diberikan tugas dalam empat bulan pertama mereka perlu menunjukkan ada kemajuan," katanya.
Athirah turut menegaskan bahawa kepentingan dalam parti perlu menjadi keutamaan kepada setiap ahli namun ia tidak bermakna sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga masing masing.
"Saya punya pendirian ialah 'party is nombor one but family is not number two' jadi mereka perlu ada kebijaksanaan untuk mengagihkan masa," katanya.
Seramai 45 orang calon bertanding dan 27 yang dipilih oleh seramai 294 perwakilan pada Konvensyen AWAN Nasional pada kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!