Helah suspek rempuh polis larikan diri bawa padah

PDRM
PDRM
A
A
A
TAIPING - Tindakan dua lelaki merempuh seorang anggota polis dan cuba melarikan diri membawa padah apabila kereta mereka terlibat kemalangan di kawasan persimpangan lampu isyarat Changkat Ibol, Jalan Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, salah seorang suspek cedera parah setelah kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler dan sebuah kereta jenis Proton Wira.

Manakala seorang lagi suspek pemandu kereta terbabit ditahan polis di Kampung Kubu, Bukit Gantang pada jam 1 pagi hari ini kerana dipercayai cuba menghilangkan diri sejurus nahas.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, kejadian berlaku ketika tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) menjalankan rondaan dan melihat dua suspek tersebut dalam sebuah kereta berwarna putih berhenti di bahu jalan di sebuah lorong di Taman Kaya, di sini.

Menurutnya, dua suspek berkenaan dipercayai merancang melakukan jenayah dan sebaik menyedari kehadiran polis, mereka terus memecut kereta secara mengundur.

"Tindakan itu menyebabkan kereta suspek merempuh salah seorang anggota polis sehingga terjatuh.

"Kedua-dua suspek pada mulanya berjaya melarikan diri dengan memecut kereta dan menghimpit anggota URB yang mengekorinya ke arah Jalan Air Kuning dan terus menghilangkan diri dari jejak mereka sewaktu menghala ke Jalan Kuala Kangsar," katanya kepada media di sini hari ini.

Mohamad berkata, bagaimanapun kereta itu terbabas di hadapan sebuah kedai di kawasan persimpangan lampu isyarat Changkat Iboi.

"Seorang suspek dalam keadaan cedera parah dan tersepit di tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta berkenaan, manakala pemandu menghilangkan diri.
Artikel Berkaitan:


"Suspek seorang penganggur berusia 27 tahun berjaya dikeluarkan dari kereta dengan bantuan orang kampung dan dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,"katanya.

Mohamad berkata, polis bertindak memeriksa ruang dalaman kereta suspek dan menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin dengan anggaran berat 0.5 gram.

Selain itu, polis turut menemui sebuah beg galas warna hijau yang di dalamnya terkandung satu topeng ski warna hitam, satu buku lima besi warna kuning, batang besi bentuk 'T' diubah suai dipercayai peralatan curi motosikal dan pecah rumah.



"Polis turut menemui sebilah parang panjang di bawah tempat duduk pemandu dan rangkai kunci mengandungi tiga anak kunci.

"Kesemua barang ditemui dirampas dan suspek pemandu berusia 29 tahun akhirnya ditangkap polis di Kampung Kubu, Bukit Gantang pada jam 1 pagi tadi,"katanya.

Mohamad berkata, kedua-dua suspek mempunyai tiga rekod lampau di bawah kesalahan dadah dan merupakan penjenayah dikehendaki polis.

"Siasatan kes masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1957 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Polis turut menafikan berita tular dalam sebuah laman Facebook mendakwa salah seorang suspek maut ditembak polis sewaktu adegan kejar-mengejar, sebaliknya kereta dinaiki suspek terbabit kemalangan.

"Sebaliknya tiada yang maut dalam kejadian berkenaan," katanya.

https://youtu.be/MPleyKcsYIM
Play Icon

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!