3,877 akaun media sosial palsu dikesan

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 3,877 akaun media sosial menyamar dikesan dan 78 peratus daripadanya berjaya dipadam oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat September lepas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini memberitahu faktor utama akaun itu dipadam kerana penciptaan akaun palsu untuk tujuan penyamaran.

“Pemadaman akaun media sosial itu mendapat kerjasama pihak penyedia platform media sosial selaras dengan terma dan syarat yang disediakan oleh penyedia platform.

“Selain itu, sebanyak 1,564 pautan dan kandungan yang dipercayai berunsurkan buli siber dikesan oleh SKMM dengan 63 peratus daripadanya telah berjaya dipadam,” katanya ketika sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu jumlah pemilik akaun media sosial yang telah disekat penggunaannya dan apakah sebabnya.

Sementara itu, Gobind berkata, kementerian sedang mengkaji bagaimana undang-undang sedia ada dalam menangani masalah akaun palsu dapat ditingkatkan pada masa akan datang.

“Saya harap pada masa akan datang kita boleh lihat undang-undang baharu selewat-lewatnya dalam pertengahan tahun depan tetapi dalam masa sama penguatkuasaan adalah penting, yang bila ada laporan dibuat orang ramai, tindakan hendaklah diambil dengan segera.

“Kami akan buat pindaan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dalam masa terdekat. Kita lihat negara dalam rantau ini telah perkenalkan undang-undang baharu yang lebih ketat misalnya Singapura dan Australia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Gobind berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan R S N Rayer (DAP-Jelutong) yang ingin tahu bagaimana kerajaan akan mengambil tindakan menangani kebebasan berkongsi maklumat yang semakin meningkat pada masa kini terutamanya yang mempunyai unsur fitnah dan palsu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!