R3 rangkul kejuaraan tiga tahun berturut-turut
SEMAKIN cemerlang berdaya saing di litar. Demikian gambaran prestasi pasukan Proton R3 yang berjaya menguasai perlumbaan Sepang 1000km (S1K) untuk tiga tahun berturut-turut.
Proton Iriz 2019 yang dipandu oleh Mitchell Cheah dan Fariqe Hairuman berjaya menguasai perlumbaan walaupun dalam keadaan mencabar disebabkan cuaca buruk.
Berikutan itu, perlumbaan hanya berakhir selepas sembilan jam dan bukannya 181 pusingan seperti yang dijadualkan.
Kegembiraan bertambah untuk pasukan R3 apabila Proton Saga 2019 yang dipandu Syafiq Ali dan Admi Shahrul dinobatkan di kedudukan kedua.
Berdasarkan rekod, kemenangan itu diraih dua kali berturut-turut dan yang kelima secara keseluruhan perlumbaan S1K sekali gus menjadikan Proton syarikat pengeluar paling berjaya dalam sejarah acara tersebut.
Rekod itu membuktikan kebolehan, pengendalian, prestasi kereta Proton dan kemahiran profesional serta kerjasama yang dipamerkan sebagai pasukan perlumbaan terkemuka di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, untuk berjaya dalam perlumbaan permotoran memerlukan gabungan beberapa faktor. Sebagai contoh, pengeluar kereta perlu memilih model-model yang bersesuaian.
“Meskipun model yang sesuai telah dikenal pasti, masih sukar untuk memperoleh kejayaan yang mana kereta-kereta tersebut perlu dibangunkan dan dinaik taraf. Keperluan kemahiran pasukan perlumbaan juga perlu diambil kira,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!