'Migrasi burung bukan kerana bencana'

Kumpulan burung memenuhi petak sawah padi di Kampung Alor Melong di sini.
Kumpulan burung memenuhi petak sawah padi di Kampung Alor Melong di sini.
A
A
A

ALOR SETAR - Fenomena burung hijrah yang berlaku bukanlah disebabkan bencana tetapi hanya untuk mencari makanan.

Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya menafikan dakwaan kejadian migrasi burung merupakan fenomena tidak baik.

Menurutnya, kumpulan burung berhijrah dari hemisfera utara ke hemisfera selatan hanya untuk mencari sumber makanan.

"Disebabkan cuaca sejuk di negara asal, maka kumpulan burung berkenaan berhijrah ke Australia.

"Bagaimanapun, dalam perjalanan ke sana burung berkenaan singgah sementara di negara kita untuk mendapatkan makanan," katanya.

Beliau berkata, Kedah bukanlah satu-satu negeri mencatatkan kehadiran dan menjadi pilihan burung yang bermigrasi.

"Negeri lain juga menjadi lokasi persinggahan memandangkan kawasan yang menjadi pilihan burung berkenaan tidak tetap sebaliknya ia bergantung kepada sumber makanan yang ada," katanya.

Tinjauan Sinar Harian sekitar bandaraya Alor Setar mendapati ada kumpulan burung itu dikesan berterbangan sekitar Simpang Kuala, selain memenuhi petak sawah padi termasuklah di Tandop dan Kampung Alor Melong di sini sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Melalui pemerhatian, burung berkenaan menyerupai bangau namun berwarna kelabu dengan kepak berwarna hitam dan saiznya lebih besar sedikit.

ARTIKEL BERKAITAN: Genting Malaysia nafi fenomena aneh burung helang

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Genting Malaysia Bhd (Genting Malaysia) membuat penafian penyebaran rakaman video sekumpulan burung helang di kawasan pusat peranginan yang ditularkan di aplikasi WhatsApp sebagai berita palsu.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail pula menjelaskan burung yang ditularkan ialah jenis Burung Asian Open Bill Stork yang berhijrah dari hemisfera utara.

Katanya, burung berkenaan dapat dilihat di kiri dalam sawah padi selepas Plaza Tol Pendang dan dipercayai membantu petani mengawal siput gondang emas yang merupakan perosak padi di Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!