Ibu muda berpantang di PPS

Noraida terpaksa berpantang di PPS Pulau Chondong.
Noraida terpaksa berpantang di PPS Pulau Chondong.
A
A
A

MACHANG - Seorang ibu muda berusia 24 tahun yang baru sembilan hari melahirkan seorang bayi perempuan terpaksa menjalani tempoh berpantang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Chondong di sini setelah rumahnya dinaiki air sejak semalam.

Walaupun berdepan beberapa kekangan namun Siti Noraida Zakaria tetap berpantang dengan bantuan ibunya.

"Memang doktor sudah menjangkakan saya akan melahirkan anak kedua ini pada penghujung November.

"Jadi saya memang sudah bersedia untuk berdepan situasi ini cuma agak kekok berpantang di sini sebab banyak perkara yang tidak boleh dilakukan sebagaimana pantang di rumah sendiri.

"Walaupun begitu saya masih buat apa yang ibu suruh. Jiran-jiran juga banyak membantu," katanya.

Isteri kepada pengawal keselamatan Mahkamah Majistret Machang itu memberitahu, dia dan bayinya, Aiman Ghazali Mohd Nazrin mula berpindah semalam selepas kawasan rumah mereka dinaiki air sehingga paras paha.

Ketika ditanya mengenai makanan yang disediakan, Noraida berkata, dia hanya menjamah biskut dan air milo panas selain mengambil makanan berat yang bersesuaian.

Noraida sekeluarga antara 130 mangsa daripada 36 keluarga yang berpindah ke PPS SK Pulau Chondong sejak semalam.

Artikel Berkaitan:

Mereka terdiri daripada penduduk dari Kampung Seri Aman, Pangkal Perahu, Tok Kaya, Pangkal Gong, Kampung Bukit dan beberapa kampung lain yang sentiasa berisiko berdepan banjir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!