Susilo rakam lagu buat arwah isterinya

Susilo menyampaikan lagu Seruling dari Lembah Sunyi di sebelah potret arwah isterinya.
Susilo menyampaikan lagu Seruling dari Lembah Sunyi di sebelah potret arwah isterinya.
A
A
A

JAKARTA - Bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengeluarkan sebuah video nyanyiannya sebagai penghormatan kepada bekas isteri, Kristiani Herawati atau lebih mesra disapa Ibu Ani Yudhoyono.

Lagu tersebut dikongsi menerusi laman Instagram milik Ibu Ani semalam dan Susilo serta keluarganya turut mengumumkan bahawa mereka akan mengaktifkan kembali akaun itu di platform media sosial menggunakan nama Ani Yudhoyono dalam Kenangan.

Keputusan itu dibuat sebagai usaha untuk memelihara dan mengekalkan nilai, pemikiran serta warisan Allahyarham.

"Melalui lagu Seruling dari Lembah Sunyi, saya ingin mengenang dan menyatakan kasih sayang tidak terhingga kepada Ibu Ani, teman sejiwa saya yang kini telah pergi mengadap Ilahi," tulis Susilo di Instagram.

Lagu versi Susilo yang ditulis oleh V Nanda Leimana dan mendapat sentuhan komposer gitaris Tohpati dilancarkan secara rasminya pada sebuah majlis sempena memperingati pemergian Ibu Ani enam bulan lalu.

Muzik video tersebut memaparkan Susilo menyanyikan lagu berkenaan di sebelah potret arwah isterinya selain gambar landskap matahari terbenam yang dirakam oleh Ibu Ani.

Pembantu peribadi Susilo, Ossy Dermawan yang mengesahkan tentang pengaktifan semula akaun Instagram Allahyarham berkata, keluarga dan kakitangan keluarga itu ingin menyimpan kenangan serta warisan Ibu Ani.

Akaun terbabit yang sering digunakan Ibu Ani untuk berkongsi mengenai kehidupan harian dan keluarganya akan terus memuat naik gambar terkini pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Antara kandungan yang akan dimuat naik adalah gambar dan video berkaitan Ibu Ani serta interaksinya sebelum, semasa dan selepas bergelar Wanita Pertama," katanya.

Akaun berkenaan akan diuruskan oleh Susilo dan pentadbir.

Susilo dan Ibu Ani berkahwin selama 43 tahun dan dikurniakan dua putera, Agus Harimurti Yudhoyono dan Edhie Baskoro Yudhoyono.

Pasangan itu terkenal dengan hobi kreatif mereka.

Bekas Presiden terbabit gemar menggubah lagu dan menyanyi serta pernah mengeluarkan tiga album.

Arwah isterinya pula adalah seorang jurugambar dan dikenali kerana sering memuat naik gambar landskap di akaun media sosialnya.

Ibu Ani menghembuskan nafas terakhir pada 1 Jun di Singapura akibat kanser darah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Wira Kalibata di Jakarta Selatan. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Susilo Bambang Yudhoyono meninggal dunia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!