KPP dibentang bagi menghadapi pelbagai ancaman

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentang hari ini bertajuk Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur membabitkan lapan bab utama untuk tempoh 2021 hingga 2030.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu membentangkan KPP selepas sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat berkata, KPP merupakan satu dokumen mengenai hala tuju strategik dan perancangan pertahanan negara.

Katanya, KPP berbeza daripada dokumen dasar pertahanan negara yang terperingkat, KPP ialah dokumen terbuka yang boleh diakses oleh rakyat.

"KPP menggariskan visi untuk mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.

"Visi ini dicapai dengan memposisikan negara sebagai sebuah negara maritim dengan susur galur kebenuaan dan memaksimumkan potensi negara sebagai gerbang penjalin menghubungkan kedua-dua rantau Asia Pasifik dengan Lautan Hindi," katanya.

Mohamad berkata, KPP dibangunkan bertujuan melibatkan rakyat dan pihak berkepentingan di dalam isu pertahanan negara.

Katanya, KPP turut menjelaskan persekitaran strategik keselamatan yang sentiasa berubah dan bagaimana keadaan itu mempengaruhi keselamatan Malaysia.

"Seterusnya, kaedah dan pendekatan untuk mempertingkatkan tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia atau ATM akan dikenal pasti bagi tujuan pelaksanaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad berkata, KPP juga memenuhi visi negara melalui tiga keberhasilan iaitu keesahan, penerimaan dan kebolehpercayaan.

Katanya, keesahan merujuk kepada kuasa kerajaan sebagai elemen utama dalam membina ketahanan dalaman yang membolehkan KPP diformulasi berdasarkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan sebagaimana amalan demokrasi.

"Penerimaan adalah berkait dengan KPP sebagai satu dokumen kerajaan dan dasar yang telah dipersetujui dalam kalangan agensi kerajaan bersesuaian dengan kaedah whole-of-government.

"Kebolehpercayaan pula merujuk kepada perakuan dan keyakinan bahawa ATM berupaya dan sentiasa siap siaga untuk melindungi kepentingan negara dan mempertahan kedaulatan dan keutuhan wilayah," katanya.

Selain itu, katanya, KPP dibuat selepas melihat Malaysia juga menghadapi ancaman bukan tradisional merentasi sempadan yang melibatkan pelaku negara dan bukan negara.

"Ancaman keganasan dan ekstremisme terhadap keselamatan negara semakin meningkat. Magnitud dan bentuk ancaman adalah selari dengan perkembangan semasa di negara jiran dan Asia Barat," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, sejajar dengan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang baharu, KPP menolak penggunaan tindakan kekerasan dalam menyelesaikan sebarang pertikaian atau konflik sebaliknya mengambil pendekatan penyelesaian secara aman dalam menangani sebarang bentuk pertikaian.

Mengenai pertambahan bilangan jumlah anggota tentera, Mohamad berkata, kesiagaan operasi dan pencapaian misi hanya boleh dicapai sekiranya anggota ATM direkrut, dibentuk dan dikekalkan kemahiran bagi mendepani segala cabaran mendatang.

“Kerajaan juga akan memastikan elaun, insentif dan kemudahan lain seperti kesihatan dan perumahan sentiasa di kaji semula.

"KPP turut menzahirkan aspirasi untuk membentuk angkatan yang anjal sebagai menguat dan menambah besar angkatan tetap.

“Peranan kedua-dua simpanan angkatan tetap dan angkatan sukarela wajar untuk diperluas agar dapat diatur gerak bersama angkatan Tetap semasa konflik serta membantu pihak berkuasa awam semasa kecemasan dan bencana,” katanya.

Mohamad berkata, KPP juga tidak meminggirkan kebajikan anggota tentera veteran dengan fokus utamanya meningkatkan taraf sosioekonomi golongan itu melalui peningkatan kebolehpasaran sebagai peluang kerjaya kedua dan keperluan sosial lain seperti penjagaan kesihatan, bantuan berkaitan seperti sara hidup, persekolahan dan lain-lain.

“Kerajaan bertekad untuk menyemai budaya keselamatan dalam kalangan rakyat kerana jatuh bangun sesebuah negara bergantung penuh pada kesatuan, ketahanan dan keampuhan rakyat dalam mendepani segala ancaman masa kini dan mendatang,” katanya.

KPP berkenaan julung kali dibentangkan kepada umum berbanding Dasar Pertahanan Negara (DPN) sebelum ini yang lebih bersifat tertutup.

Ia menjadi hala tuju strategik pertahanan negara untuk bagi melindungi kepentingan negara dan mempertahan kedaulatan serta keutuhan wilayah.

Bagi memantau pelaksanaan KPP dan memastikan tadbir urus terbaik, tiga jawatankuasa khas akan ditubuhkan.

Ia akan melibatkan Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Jawatankuasa Dasar dipengerusikan, Mohamad dan Jawatankuasa Reformasi Pelaksanaan yang akan dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohd Zuki Mohd Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!